Siakap Keli
Gambar: Puteri Shazwani

Kenali Puteri Shazwani, Pegawai Wanita TLDM Pertama Miliki Kepakaran Juruteknik Peluru & Bahan Letupan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kenali Puteri Shazwani, Pegawai Wanita TLDM Pertama Miliki Kepakaran Juruteknik Peluru & Bahan Letupan

“Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan,” itulah ungkapan yang sering diucapkan oleh masyarakat dalam menjalani kehidupan yang penuh liku. Setiap orang mempunyai impian untuk berjaya dalam hidup.

Bagaimanapun, pelbagai cabaran yang perlu dilalui untuk sampai ke garisan penamat dan kemuncak impian.

Pada tahun 2021, seorang anak Malaysia, Puteri Shazwani Megat Ahmad Shariman berjaya mencipta nama apabila berjaya menjadi pegawai wanita Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pertama yang mempunyai kepakaran dalam juruteknik Peluru dan Explosive Ordnance.

Mempunyai pencapaian yang sangat membanggakan, kisah mengenainya telah dikongsikan oleh Dr Zulkifli Hussain di Facebook pada awal tahun ini, namun ia kembali tular dan mendapat perhatian netizen baru-baru ini.

Gambar: Puteri Shazwani

Menerusi perkongsian itu, Dr Zulkifli sempat mengucapkan tahniah dan bertanya kepada Puteri Shazwani bagaimana menjalani kehidupan sebagai Leftenan Muda TLDM.

Berada dalam bidang yang didominasi lelaki, Puteri Shazwani berkata bahawa dia perlu belajar untuk cepat menyesuaikan diri dan bersedia untuk berdepan dengan sebarang situasi.

Dalam masa yang sama, dia juga mengaku bahawa bergelar sebagai Leftenan Muda TLDM mempunyai cabaran yang tersendiri.

Gambar: Puteri Shazwani

“Sudah pasti. Bidang tentera ini luas. Bidang perubatan, kejuruteraan, logistik, juruterbang, perisikan, polis tentera, public relation, seni/muzik, kulinari dan banyak lagi.

“Peranan wanita juga penting dalam ketenteraan. Saya tak nafikan golongan wanita ada limitasi daya kekuatan fizikal berbanding dengan lelaki. Namun wanita tiada limitasi dari aspek kekuatan mental, Ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan personaliti.

“Jadi golongan wanita pun boleh berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki sekiranya mereka ada kelebihan itu,” jelasnya.

Tambah Shazwani lagi, dia menjelaskan mengapa lebih memilih bidang ketenteraan kerana lebih menyukai cabaran dan mencuba sesuatu yang baru bagi menguji kemampuan dirinya.

“Bidang tentera telah membuka banyak peluang kepada cabaran dan mengasahkan bakat di dalam diri,” katanya.

Gambar: Puteri Shazwani

Latar Belakang Puteri Shazwani

Puteri Shazwani binti Megat Ahmad Shariman lahir di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur namun membesar di Ipoh, Perak.

Dia merupakan anak kedua daripada lima adik-beradik.  Shazwani juga seorang aktif dalam sukan Triathlon seperti berenang, berlari dan berbasikal serta boling.

Sewaktu masa lapang, dia suka mengisi waktu terluang dengan membaca buku dan bermain alat muzik seperti Gitar  atau Piano.

Gambar: Puteri Shazwani

Shazwani mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Perempuan Ipoh dan melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Ipoh dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga.

Selepas itu, dia berpindah ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dari tingkatan empat hingga tingkatan lima sejak 2012.

Perjuangannya di medan ilmu tidak sampai di situ sahaja apabila dia menyambung ke peringkat yang lebih tinggi di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada tahun 2014 dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan.

Gambar: Puteri Shazwani

Dalam waktu yang sama, Shazwani juga mendapat tempat sebagai Pegawai Kadet Laut di universiti berkenaan.

Shazwani berjaya menamatkan pengajiannya di UPNM pada tahun 2018 dan beliau ditauliahkan serta dikurniakan pangkat Leftenan Muda TLDM pada tahun 2019.

Selepas itu, Shazwani mula berkhidmat sebagai pegawai TLDM di Markas Tentera Laut, Bahagian Materiel pada tahun 2021.

Dia terus meneroka dengan lebih mendalam dalam bidang ketenteraan selepas menghadiri Kursus Pegawai Kejuruteraan Peluru selama 8 Bulan di Kem Mempaga, Bentong.

Kini beliau menabur bakti sebagai seorang Pegawai Laksana di Depot Peluru dan Bahan Letupan Wilayah Laut 1.

Gambar: Puteri Shazwani

Pencapaian Shazwani

Sepanjang perjalanan anak kedua dari lima beradik itu menongkah pancaroba, dia telah meraih pelbagai kejayaan yang manis termasuk naib johan World Miss University Malaysia pada tahun 2018 dan menghadiri International Leadership Conference di United States Military Academy pada tahun 2018.

Gambar: Puteri Shazwani

Selain itu, dia juga merupakan perenang Rentas Selat Dinding 10 kilometer pada tahun 2019 dan menjadi pegawai wanita TLDM pertama yang mempunyai kepakaran Juruteknik Peluru dan Explosive Ordnance pada tahun 2021.

Semoga beliau menjadi anak Malaysia yang terus menabur bakti dan membanggakan negara, bangsa dan agama.

Sumber: Puterishazwani, Facebook Dr. Zulkifli Hussain

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.