Misteri Bau Busuk Terbongkar, Mayat Lelaki Mati Dalam Rumah Sewa Ditemui ‘Diratah’ Biawak
THAILAND – Pasukan kecemasan terkejut sebaik menemui mayat seorang lelaki sedang dimakan oleh seekor biawak.
Dilaporkan, mangsa yang berusia 50 tahun itu meninggal dunia seorang diri di rumah sewanya yang terletak di daerah Khlong Toei, Bangkok.
Menurut laporan, jiran-jirannya hairan kerana dia tidak pernah keluar dari rumah sejak dua hari yang lalu.
Tambah mereka, dia tinggal bersendirian dan bekerja sebagai pemandu teksi motosikal serta mempunyai penyakit tekanan darah tinggi.
Menurut Mothership, mereka mula mendapati sesuatu yang tidak kena selepas mengesan bau busuk datang dari rumah sewa mangsa dan memutuskan untuk menghubungi pihak polis.
Ketika pasukan polis dan pihak kecemasan tiba, mereka dilaporkan menemui mayat mangsa di dalam bilik air yang terletak di belakang bangsal yang ditutup dengan kepingan logam yang berkarat berdekatan sebuah sumber air.
Difahamkan, mangsa ditemui dalam keadaan tanpa sebarang pakaian dan badannya sudah mula membengkak dan mereput.

Walau bagaimanapun, apa yang pihak polis dan pihak kecemasan tidak sangkakan adalah apabila terlihat seekor biawak sepanjang 1 meter ditemui sedang memakan mayat mangsa.
Mereka percaya bahawa biawak itu masuk ke dalam rumah tersebut melalui lubang di dalam tandas tersebut.
Reptilia tersebut didapati sedang memakan mayat berkenaan pada bahagian telinga, kaki dan bahagian badan yang lain.
Anggota polis terpaksa menghalau biawak tersebut sebelum mereka berjaya mengambil mayat mangsa.
Difahamkan, Yayasan Ruamkatanyu yang menguruskan kecemasan perubatan dan mengendalikan upacara pengebumian orang miskin dan tidak mempunyai saudara dihubungi bagi membantu kejadian ini.
Sukarelawan dari yayasan tersebut telah menghantar mayat mangsa ke Hospital Memorial King Chulalongkorn untuk dibedah siasat.
Pihak hospital menganggarkan bahawa lelaki itu telah meninggal dunia sekurang-kurangnya dua hari sebelum ditemui.
Pegawai polis yang berada di lokasi kejadian percaya lelaki itu mengalami tekanan darah tinggi secara tiba-tiba sebelum tidak sedarkan diri, lapor Matichon Online.
Pihak berkuasa dilaporkan sedang berusaha menghubungi ahli keluarga mangsa untuk urusan pengebumiannya.
Sumber : Mothership.sg