Pemilik Tesla, Elon Musk memberitahu 104 juta pengikutnya di akaun Twitter tentang amaran mengenai pengakhiran tamadun manusia dengan membandingkan dengan kepupusan dinosaur.
Menurut Mirror, Elon Musk mengeluarkan peringatan keras berdasarkan jangkaannya mengenai kehancuran tamadun manusia dan kejadian itu selari dengan kepupusan dinosaur-dinosaur pada zaman dahulu dengan berkata, “Perkara ini akan berulang semula,”.
Taikun Tesla dan roket SpaceX yang berusia 51 tahun itu membuat jangkaan sedemikian semasa dia berkongsi (retweet) pautan artikel berita dari BBC di Twitter yang menyentuh tentang kepupusan dinosaur baru-baru ini.
Dalam hantaran di Twitter itu, Elon Musk menulis kenyataan pendek yang berbunyi, “”Perkara ini akan berulang semula – Hanya menunggu masa sahaja,”. Difahamkan, seperti yang dilapor Mirror, kenyataan itu merujuk kepada pengakhiran tamadun manusia.
This will happen again – just a matter of time https://t.co/HeyZhZbAih
— Elon Musk (@elonmusk) August 28, 2022
Dalam artikel BBC itu, antara petikannya ialah, “Sebuah astreoid telah mengakhiri era Cretaceous dengan menamatkan riwayat dinosaur-dinosaur terkenal seperti Tyrannosaurus dan Triceratops, juga haiwan yang kurang dikenali tetapi menakjubkan seperti Anzu, atau lebih dikenali sebagai ‘ayam dari neraka’,”
Selain itu, artikel tersebut juga menerangkan tentang bagaimana haiwan-haiwan kecil seperti Purgatorius berserta ‘nenek moyang’ kita telah mengambil tempat dalam planet ini daripada penghuni asalnya – dinosaur.
Respons pengikut di Twitter
Dalam pada itu, ramai pengikut Musk memberikan respon terhadap ciapannya dan salah satu daripada mereka mengatakan, “Ia sedang berlaku,”.
Selain itu, ada juga pengikut lain yang berspekulasi, “Dalam 10 peratus masa lalu bagi planet Bumi yang kita ketahui, terdapat lima kepupusan besar-besaran yang besar. Setiap satunya memiliki jangka masa antara 50-100 juta tahun.
“Dan ia sangat ‘sunyi’ sejak 65 juta tahun yang lalu.. Saja nak cakap.. hidup dekat dua planet kedengarannya cukup bagus sekarang,” kata pengikut itu.
Sebelum ini, dia juga pernah mendapat tumpuan untuk teori yang sama pada minggu lepas selepas dakwaannya yang mengatakan pemanasan global bukanlah satu ancaman terbesar yang dihadapi manusia.

Elon Musk pernah beri amaran lebih kurang sama sebelum ini
Sebelum ini, Musk juga pernah beri amaran lebih kurang sama, “Populasi akan menurun disebabkan kadar kelahiran yang rendah, yang mana akan memberikan risiko lebih besar kepada tamadun manusia berbanding dengan pemanasan global,”
Kenyataan itu mengundang pujian dan kritikan daripada orang ramai. Salah seorang pengguna Twitter bertanya, “Adakah penyelesaiannya hanyalah dangan memiliki kanak-kanak ?”. Pemilik Tesla membalasnya dengan jawapan, “Ya,”
Bagaimanapun, terdapat juga beberapa pengguna media sosial lain yang tidak begitu berminat dengan teori-teori itu dengan memberikan maklum balas seperti, “Dia ni mengarut je,”. Ada pengguna lain juga mengatakan bahawa teori tersebut tidak tepat secara keseluruhan.
Sumber: Mirror