Siakap Keli
elon musk beli mu
Gambar: Sporting News/Biography.com via Google

Elon Musk Umum Beli Manchester United?

Pengarah syarikat Tesla dan pemilik aplikasi Twitter, Elon Musk mengumumkan dia membeli kelab gergasi Eropah, Manchester United (MU).

Dalam satu ciapan di Twitter pagi tadi, pada awalnya Elon menjelaskan tentang prinsipnya dalam memberi sokongan secara adil kepada dua haluan parti politik.

Dalam masa sama, dia juga memaklumkan dipercayai akan memiliki The Red Devils hingga pengumuman itu membuatkan ramai terkejut.

“Supaya semua jelas, saya menyokong sebahagian Parti Republik (kiri) dan sebahagian Parti Demokratik (kanan).

“Juga, saya membeli Manchester United. Sama sama (terima kasih),” jelasnya di Twitter.

Sementara itu, merujuk laporan Channel News Asia (CNA), United yang kini dimiliki oleh Glazer dipercayai belum memberikan sebarang respon mengenai perkara itu.

Tambahan pula, dengan rekod prestasi semasa yang ditampilkan oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, United kini sedang ‘meresahkan’ penyokong-penyokongnya apabila tewas dua kali pada awal musim liga kepada Brighton dan Brentford.

Selepas mengalami kekalahan cukup memalukan 1-2 dan 0-4, United yang dahulunya sangat digeruni ketika era Sir Alex Ferguson kini terpaksa pasrah apabila hanya mampu menduduki tangga tercorot liga tanpa sebarang mata.

Sehubungan itu, ramai antara peminat-peminat United yang melakukan protes terhadap Glazer ekoran prestasi hambar yang ditampilkan kelab tersebut.

Untuk rekod seperti yang dilapor CNA, nilai pasaran terkini bagi United adalah berjumlah RM9.2 bilion.

Terdahulu, Glazer telah dilaporkan membeli United dengan harga RM4.2 bilion pada tahun 2005.

Sumber: Twitter Elon Musk

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?