Keluarga Bersama Bayi 21 Hari Tiada Tempat Tinggal, Diusir Keluar Rumah Kerana Konflik Keluarga
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan merupakan satu organisasi yang aktif memberikan pertolongan kepada orang awam yang dalam kesusahan dan terutamanya kepada golongan asnaf.
Pihak MAIWP sentiasa bersedia untuk membantu sesiapa sahaja yang tergolong dalam golongan fakir, miskin dan muallaf tanpa mengira status individu atau keluarga yang berada dalam kesusahan.
Menerusi perkongsian di Facebook, pihak MAIWP menerima laporan yang menyatakan sebuah keluarga telah kehilangan tempat tinggal setelah diusir keluar daripada rumah.

Lebih memilukan apabila mereka mendapati bahawa salah seorang daripada ahli keluarga tersebut merupakan bayi yang berusia 21 hari dan ibu kepada bayi tersebut dalam keadaan lemah kerana masih dalam tempoh berpantang.
Ketua keluarga mengambil keputusan membawa isteri dan tiga anak kecilnya itu keluar daripada rumah yang didiami mereka selama ini secara serta merta disebabkan mempunyai konflik keluarga yang serius.

Dia bersama keluarganya yang tidak mempunyai arah tujuan dan secara tidak sengaja tiba di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL) untuk mencari tempat berteduh.
Ekoran itu, pihak MAIWP terus mengambil tindakan dengan menempatkan keluarga tersebut di Anjung Singgah kerana penempatan di PTGKL tidak sesuai bagi keluarga menginap.
“Pegawai bertugas tanpa berlengah masa selain menghubungi MAIWP, mereka terus bertindak dengan menempatkan keluarga ini di Anjung Singgah memandangkan penempatan PTGKL tidak sesuai untuk keluarga menginap.”
Dilaporkan, keadaan keluarga sukar kerana ketua keluarga tersebut baru sahaja mendapatkan pekerjaan baharu sebagai mekanik dan sudah pasti belum menerima gaji pertama.

“Berbekalkan dengan sumber kewangan yang terhad, tidak banyak tindakan yang dapat dibuat oleh si suami selain meraih bantuan.
“Pihak MAIWP dan Anjung Singgah yang berada di bawah kelolaan Yayasan Kebajikan Negara akan bekerjasama untuk mencari jalan bagi membantu keluarga ini secepat mungkin,” ujarnya.