Siakap Keli
opr naik maybank

Maybank Tingkat Kadar Asas Standard, Asas & BLR Sebanyak 25 Mata Asas Isnin Depan

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) — Malayan Banking Bhd (Maybank) akan melaras naik kadar asas standard, kadar asas (BR) dan kadar pinjaman asas (BLR) sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa 12 September 2022, berikutan pengumuman kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) hari ini.

Bank Negara Malaysia menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari kelima hari ini, kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas yang ketiga berturut-turut tahun ini, menjadikan kenaikan tahun ini kepada 75 mata asas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Maybank berkata kadar asas standard dan BR akan dinaikkan daripada 2.25 peratus setahun kepada 2.50 peratus setahun manakala kadar BLR akan dilaras daripada 5.90 peratus setahun kepada 6.15 peratus setahun.

“Begitu juga, kadar asas standard Islam dan kadar asas Islam akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas daripada 2.25 peratus setahun kepada 2.50 peratus setahun manakala kadar pembiayaan asas Islamic akan dinaikkan daripada 5.90 peratus setahun kepada 6.15 peratus setahun masing-masing,” katanya.

Sehubungan dengan penyelarasan itu, kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic juga akan diselaras naik berkuat kuasa 12 September 2022, tambahnya.

Maybank berkata semakan terakhir dalam BR adalah pada 8 Julai 2022 apabila is dinaikkan daripada 2.00 peratus setahun kepada 2.25 peratus setahun berikutan kenaikan OPR dengan kuantum yang sama. 

Sumber: Bernama

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana