Selepas mengharungi 12 minggu ujian fizikal ekstrem, manipulasi mental dan pengasingan sepenuhnya dari dunia luar, hanya 87 daripada 230 perajurit layak untuk dianugerahkan Beret Hijau Gerak Khas.
Dalam satu kenyataan, Tentera Darat Malaysia (TDM) berkata ujian yang dilaksanakan di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) itu tiada kompromi dan belas kasihan demi membina kekuatan fizikal dan mental buat anggota Gerak Khas TDM.
“Di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), tiada kompromi dan tiada belas kasihan kerana keanggotaan elit Gerak Khas Tentera Darat Malaysia (TDM) hanya ditempa melalui keringat, air mata dan daya nalar yang kebal,” katanya.
Hanya 87 Perajurit Layak Sarung Beret Komando

Dalam pada itu, TDM turut memaklumkan 87 perajurit itu berjaya menamatkan Kursus Asas Komando Siri AK/2/2026 pada Ahad.
“Membuktikan standard kejam tanpa kompromi ini, hanya 87 penuntut daripada 230 calon awal telah disahkan layak untuk dianugerahkan Beret Hijau Gerak Khas berikutan penamatan Kursus Asas Komando Siri AK/2/2026, di Betutu Laut, Kem Sungai Udang,” katanya.
Selain itu, hanya tiga pegawai dan 84 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) berjaya melepasi piawaian kursus tersebut, dan Mejar Ainul Kamal bin Ainun Musir dari Markas 21 Grup Gerak Khas dinobatkan sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik.
“Turut menggegar acara penutup ini adalah demonstrasi Small Scale Amphibious Raid, Kombat Gerak Khas dan operasi penyusupan melalui penerjunan bebas (Free Fall Jump) oleh Tim Payung Terjun 21 Grup Gerak Khas.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada 87 komando baharu yang berjaya menjiwai semangat 'Cepat dan Cergas',” ujar TDM.


