Mengejar impian bukanlah sesuatu yang mudah, namun dengan kesungguhan dan ketekunan, tiada yang mustahil.
Begitulah kisah tiga kembar seiras Muhammad Nuriman Mohd Irwan, Muhammad Nuramin Mohd Irwan dan Muhammad Nurnaim Mohd Irwan yang sebelum ini pernah gagal empat kali dalam temu duga tentera.
Susulan kegagalan itu, ketiga-tiganya mengambil keputusan untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3/2025 di Kem Askar Wataniah, Sungai Miang, Pekan, Pahang pada September lalu.
Bagaimanapun, impian tiga kembar seiras itu untuk berbakti kepada negara akhirnya berjaya dicapai selepas ketiga-tiganya menamatkan Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 206/26 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, pada 17 Oktober lalu.
Kejayaan mereka menamatkan latihan ketenteraan bersama-sama turut mendapat perhatian Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Pahlawan Malek Razak Sulaiman.
Tiga Kembar Akhirnya Bergelar Seiras Perajurit Muda

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkongsi rasa bangga melihat ketiga-tiga kembar itu berjaya menamatkan latihan bersama-sama dalam perbarisan tamat latihan yang melibatkan seramai 1,485 perajurit muda.
Menurut beliau, kejayaan tersebut pastinya menjadi kenangan bermakna buat ketiga-tiga mereka, selain menjadi kebanggaan keluarga.
“Kejayaan mereka pastinya menjadi satu kenangan yang cukup bermakna, bukan sahaja buat diri mereka, malah turut menjadi kebanggaan keluarga.
“Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada mereka dan seluruh perajurit muda yang telah berjaya menamatkan latihan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji kesemua perajurit muda yang berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan selama enam bulan, bermula 10 April hingga 17 Oktober 2026.
Katanya, sepanjang tempoh itu, mereka berjaya membuktikan kecekalan, ketahanan fizikal dan mental serta semangat juang yang tinggi dalam menghadapi pelbagai cabaran.

“Setelah melalui enam bulan latihan asas ketenteraan bermula 10 April hingga 17 Oktober 2026, kesemua perajurit muda ini telah berjaya membuktikan kecekalan, ketahanan fizikal dan mental serta semangat juang yang tinggi dalam mengharungi pelbagai cabaran sepanjang tempoh latihan,” ujarnya.
Dalam hantaran sama, Malek turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan komitmen dan dedikasi dalam melatih generasi baharu anggota tentera yang berdisiplin, berintegriti dan berjiwa kental.
Beliau turut menekankan kepentingan membentuk anggota Angkatan Tentera Malaysia, khususnya Tentera Darat, yang sentiasa bersedia berbakti demi mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan tanah air.

