Satu Dalam Sejuta, Wanita Dakwa Lahirkan Bayi Kembar Berbeza Bapa
BRAZIL – Seorang wanita berusia 19 tahun mendakwa bahawa dirinya telah melahirkan anak kembar daripada dua bapa berbeza selepas melakukan hubungan seks dengan dua lelaki pada hari yang sama.
Dilaporkan, dia terkejut apabila keputusan ujian paterniti DNA yang dilakukan untuk mengesahkan siapa bapa kepada bayinya menunjukkan dua lelaki berbeza.
Apabila dia mengetahui bahawa bapa kepada bayinya merupakan dua lelaki berbeza, dia berkata: “Saya tidak tahu perkara sebegini boleh berlaku.”
Doktor Tulio Jorge Franco, berkata bahawa kes itu sangat jarang berlaku dan menyifatkannya sebagai situasi “satu dalam sejuta”.
Menurut laporan media tempatan, wanita yang berasal dari Mineiros, Brazil telah melakukan hubungan seks dengan dua lelaki berbeza pada hari yang sama dan hamil daripada mereka berdua.
Dia dilaporkan berkata: “Saya terkejut dengan hasilnya. Saya tidak tahu ini boleh berlaku. Mereka sangat serupa.”
Pakar perubatannya berkata terdapat hanya kira-kira 20 kes heteroparental superfecundation lain di seluruh dunia, seperti yang diketahui secara saintifik.
Fenomena ini sangat jarang berlaku yang melihat seorang wanita melahirkan anak kembar dengan bapa kandung yang berbeza.
Ia berlaku apabila ovum kedua yang dikeluarkan semasa kitaran haid yang sama juga disenyawakan oleh sel sperma lelaki yang berbeza dalam hubungan seksual yang berasingan, jelas Perpustakaan Perubatan Negara.
Doktor melaporkan bahawa, “Ia mungkin berlaku apabila dua telur daripada ibu yang sama disenyawakan oleh lelaki yang berbeza. Bayi berkongsi bahan genetik ibu, tetapi mereka tumbuh dalam plasenta yang berbeza.”
“Ia amat jarang berlaku. Ia adalah satu dalam sejuta. Saya tidak pernah membayangkan bahawa saya akan melihat kes seperti ini dalam hidup saya,” tambahnya.
Wanita itu menjelaskan bahawa bayinya kelihatan sangat serupa tetapi selepas lapan bulan dia mula meragui tentang bapa kepada anaknya.
Semasa bayi tersebut berusia lapan bulan, dia mendapat DNA daripada lelaki yang disangkakan sebagai bapa kepada kembar tersebut.
Bagaimanapun, keputusan ujian itu menunjukkan hanya salah seorang dari bayi tersebut merupakan anaknya.
Kemudian, dia melakukan ujian sekali lagi tetapi keputusannya masih sama.
Ketika itulah dia teringat yang dia telah melakukan persetubuhan dengan lelaki lain pada hari itu.
Sumber : Mirror.Co