Siakap Keli

Kajian Dapati Secara Purata Rakyat Malaysia Perlu Bekerja 29.2 Hari, Baru Mampu Beli iPhone 14 Pro

Berapa Lama Tempoh Untuk Rakyat Malaysia Mampu Beli iPhone 14?

Picodi.com telah mengeluarkan satu jadual yang menunjukkan berapa lama tempoh yang diambil oleh seseorang untuk membeli sebuah iPhone 14 berdasarkan purata pendapatan di sesebuah negara.

Di Malaysia, iPhone 14 Pro dalam versi asasnya 128GB dijual pada RM 5,299 dan di Amerika Syarikat ialah $999 (RM 4,719). Harga ini adalah berbeza berdasarkan beberapa perkara antaranya nilai mata wang sesebuah negara dan jumlah cukai jualan yang dikenakan.

Mengikut data terkini Numbeo, purata gaji bersih di Malaysia ialah RM 3,810. Ini bermakna rakyat Malaysia perlu bekerja selama 29.2 hari untuk membeli sebuah iPhone 14 Pro. Dengan syarat semua wang yang diperolehi adalah disimpan hanya untuk tujuan pembelian telefon pintar itu sahaja.

Ini bermakna, rakyat Malaysia perlu menyimpan pendapatan melebihi sebulan memandangkan secara purata, rakyat Malaysia bekerja selama 21 hari setiap bulan selepas ditolak cuti hujung minggu.

Kredit Picodi.com

Laman itu juga menyenaraikan tempoh rakyat Malaysia mampu membeli iPhone untuk lima tahun sebelum ini. Pada tahun 2018 rakyat Malaysia mengambil masa selama 41.3 hari untuk mendapatkan sebuah iPhone. Pada tahun 2019 selama 30.1 hari dan tahun 2020 dalam tempoh 29.1 hari.

Namun begitu pada tahun 2021 bilangan hari naik semula kepada 30.3 hari dan pada tahun ini turun kembali kepada 29.2 hari.

Bagi kedudukan pertama dalam jadual itu adalah Switzerland dengan hanya mengambil tempoh paling cepat iaitu 4.6 hari. Di kedudukan yang kedua ialah Amerika Syarikat yang memerlukan tempoh bekerja selama 5.7 hari.

Seterusnya ialah Australia dengan tempoh bekerja 6.1 hari untuk rakyatnya memiliki iPhone 14 Pro yang terkini.

Negara yang termasuk dalam kedudukan ranking yang paling lama tempoh waktu bekerja untuk memiliki telefon pintar keluaran terbaru syarikat Apple itu ialah Turki. Rakyat Turki perlu bekerja dalam tempoh 146.7 hari untuk mendapat sebuah iPhone.

Negara seterusnya ialah Filipina dan Brazil dengan masing mengambil masa selama 90.9 dan 74.2 hari.

Menurut Picodi.com, data itu diperoleh menerusi perbandingan harga jualan iPhone bagi setiap negara dan dinisbahkan kepada gaji purata tahunan setiap negara. Picodi.com telah mengutip data ini sejak tahun 2018 lagi.

Sumber: Picodi.com

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka