Memang tidak dinafikan, kasih seorang ibu tidak dapat menandingi sesiapa pun. Apa tidaknya, dia yang mengandungkan kita selama 9 bulan dan telah bergadai nyawa untuk melahirkan kita.
Bagi yang sudah tidak mempunyai ibu, sudah pasti diri berasa kehilangan sesuatu yang besar di dalam hidup, namun kehidupan tetap perlu diteruskan.
Begitulah yang dialami oleh seorang gadis yang telah kehilangan ibunya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Walau bagaimanapun, dia bernasib baik kerana masih mempunyai ‘ibu-ibu’ lain yang membesarkan dirinya.
Kisah ini diceritakan sendiri oleh Anisah, yang mempunyai 3 orang ibu di mana kesemuanya adalah berlainan kaum tapi bersatu membesarkan dirinya.
Kasih 3 orang ibu bersatu walau berlainan kaum
Seperti yang dikongsikan oleh Anisah, dia dan ibunya tinggal di rumah yang juga kedai jahit yang diasaskan oleh Madam Ai Ling Yeoh yang cukup memahami nasib-nasib ibu tunggal yang kurang bernasib baik.
Pada ketika itu, beliau memberikan tempat tinggal dan pekerjaan buat mereka semua termasuklah ibu Anisah.
Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi ibu Anisah apabila dia menemui ajalnya dalam satu kemalangan jalan raya.
Namun, dengan adanya semangat perpaduan dan kasih sayang yang wujud di dalam rumah tersebut, mereka semua bersatu hati membesarkan Anisah bersama-sama.
Kini, Anisah telah membesar dengan jayanya dan telah melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti di dalam bidang Seni Reka Fesyen.
Malahan, gadis ini juga sangat beruntung kerana ibunya telah mencarum PERKESO ketika bekerja bersama Madam Ai Ling Yeoh.
Anisah telah dibantu dengan Faedah Pendidikan PERKESO sehingga dia tamat pengajian di menara gading.
Berkat dirinya dibesarkan oleh ibu-ibu berbilang kaum dan bangsa, kini giliran Anisah pula menzahirkan rasa ‘Jalinan Harmoni’ yang boleh dicapai melalui semangat bersatu.
Seperti seurat benang, sekiranya digabungkan dengan benang-benang yang lain, pasti jalinan akan menjadi lebih kuat dan teguh.
PERKESO hasilkan video ‘Jalinan Harmoni’, kasih 3 orang ibu lain kaum
Untuk pengetahuan korang, kisah penuh inspirasi ini telah dikongsikan menerusi satu video istimewa sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022.
Korang juga boleh menontonnya menerusi video di bawah. Namun, lebih baik sediakan tisu terlebih dahulu kerana pengisian video ini pasti membuatkan korang mengalirkan air mata.
Seperti yang dinikmati oleh Anisah, caruman PERKESO sangat penting untuk menjamin masa depan yang lebih cerah. Percayalah, ianya akan berguna untuk korang satu hari nanti.
Menurut Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO, video ini merupakan cetusan idea PERKESO bagi menzahirkan rasa cinta dan bangga sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni walaupun berbeza kaum, bangsa dan agama. Kemerdekaan yang dinikmati negara selama 65 tahun tidak akan tercapai, sekiranya tiada nilai perpaduan dan toleransi yang utuh wujud dalam diri setiap rakyat di negara ini.
Tambah beliau lagi, “Bak kata pepatah Melayu, ‘Serumpun bak serai, sesusun bak sirih’. Permuafakatan yang terjalin dalam masyarakat perlulah sentiasa dipupuk dan diamalkan sentiasa kerana kita semua adalah satu Keluarga Malaysia, yang saling menghormati dan mengasihi sesama kita.”
Dalam pada itu, Izad Haji Raya, Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO turut berkata, “Sebagaimana kita akhirnya ‘merdeka’ untuk meraikan Hari Kebangsaan secara terbuka dengan seluruh rakyat Malaysia pada tahun ini, kami juga ingin mengajak orang ramai untuk sama-sama menghayati makna sebenar ‘Teguh Bersama’ dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.”
“‘Jalinan Harmoni’ mengangkat tema pengorbanan dan kasih sayang yang wujud dalam diri rakyat Malaysia walaupun berbeza warna kulit mahupun tutur bahasa. Ia juga memaparkan kisah sebenar segelintir masyarakat yang diuji dengan pelbagai dugaan kehidupan dan bagaimana PERKESO memainkan peranannya selaku peneraju perlindungan keselamatan sosial di negara ini untuk meringankan bebanan yang digalas mereka menerusi faedah-faedah di bawah skim perlindungan sosialnya.”
Untuk maklumat lanjut, korang boleh pergi ke Facebook rasmi PERKESO di sini.