Siakap Keli
pak lah demensia
Gambar hiasan | Bernama

Khairy Sahkan Pak Lah Hidap Demensia, Tak Ingat Sesiapa

Persoalan ramai mengenai bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, 82, yang sudah lama ‘menghilang’ akhirnya terjawab apabila beliau disahkan menghidap demensia.

Perkara itu disahkan menantunya, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Kesihatan dalam menjawab tentang keadaan terkini Abdullah yang turut mesra dikenali sebagai Pak Lah.

“Mungkin ramai antara anda tertanya-tanya, di mana PM kelima (Pak Lah). Ya, beliau telah bersara (sejak 2009) dengan terhormat dan tidak akan menimbulkan masalah untuk penggantinya.

“Beliau mempunyai demensia. Itulah sebabnya beliau tidak kelihatan lagi di mana-mana,” katanya dalam satu kenyataan seperti yang dilapor Awani hari ini.

Tambah Khairy, keadaan yang dialami ayah mertuanya itu bagaikan ‘tubuh ada tapi minda tiada’ ekoran daya ingatannya sudah merosot.

“Demensia itu satu situasi yang sangat kejam, kerana tubuhnya ada, mindanya tiada.

“Saya lihat bapa mertua saya merosot ke tahap beliau tidak lagi berfungsi secara normal. Beliau tidak ingat nama saya, tidak ingat nama isteri saya,” tambahnya.

Sehubungan itu, Khairy berkata pihak keluarganya bersedia mendedahkan hal sebenar susulan ramai yang tidak mengetahui keadaan semasa bapa mertuanya selama ini.

“Ia menjadi cabaran kepada kami melihat kemerosotan fungsi kognitif beliau. Ada sesetengahnya yang sedar, tetapi ramai yang tidak.

“Justeru, pihak keluarga mengambil keputusan untuk berkongsi secara terbuka sebahagiannya bagi memberi penerangan tentang demensia dan kecacatan kognitif,” katanya dalam ciapan di Twitter pula.

Sementara itu, Khairy berkata, pihak keluarganya dapat membantu dengan memberikan penjagaan profesional kepada Pak Lah.

Jelasnya, walaupun beliau sekeluarga dapat memberikan sokongan professional kepada Pak Lah namun tidak ramai berpeluang untuk berbuat demikian pada keluarga mereka.

“Bagaimanapun, ramai lagi yang tidak mampu berbuat demikian.

“Justeru, penting bagi kami untuk melabur dalam penjagaan sosial bagi menyokong keluarga yang mempunyai orang tersayang memerlukan penjagaan berterusan,” ujar Khairy dalam kenyataan itu lagi.

Difahamkan, Khairy berkata demikian dalam mengulas mengenai kepentingan sokongan perubatan demensia semasa pelancaran Konferens Perubatan Psikologi Malaysia 2022 hari ini.

Sumber: Twitter Khairy Jamaluddin / Awani

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana