Siakap Keli
mati helikopter hilang
Kredit: Bernama

Juruterbang Helikopter Hilang Sah Ditemui Mati Di Lokasi Kejadian – Ketua Polis Perak

TAPAH, 12 Sept (Bernama) — Juruterbang sebuah helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang semalam, ditemukan mati di lokasi kejadian, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Beliau berkata mayat juruterbang itu ditemukan di dalam kokpit helikopter tersebut oleh pasukan pencari dan penyelamat pagi tadi.

“Helikopter milik pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menemui lokasi nahas kira-kira 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus di sini. Lima minit kemudian, krew TUDM turun ke lokasi nahas dan menemui mangsa yang berada di dalam kokpit.

“Mayat kemudian dibawa keluar dari lokasi kejadian pada 10.12 pagi dan seterusnya dibawa ke SMK Anderson menggunakan sebuah ambulans, sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat.

“Kecederaan dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Balai Polis Bidor, kira-kira 80 kilometer dari Ipoh hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati juruterbang tersebut dikenali sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58 tahun merupakan warganegara Hongkong dan keluarganya telah dimaklumkan oleh pihak syarikat.

Menurutnya, bangkai pesawat jenis Eurocopter milik sebuah syarikat swasta itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Semalam Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat itu terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Dr. Wee Ka Siong berkata pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu terputus hubungan pada kira-kira 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri pada semalam juga dilaporkan berkata, SAR dihentikan sementara malam tadi memandangkan faktor cuaca tidak mengizinkan dan tidak menentu.

Pemerhatian Bernama mendapati operasi yang bersambung hari ini bermula seawal 7.30 pagi melibatkan lima kumpulan dan dipecahkan kepada dua sektor besar.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, operasi itu melibatkan kawasan Kampung Kenangan, Jalan Bidor-Teluk Intan dan turut memfokuskan pencarian dalam radius lima kilometer di kawasan Hutan Simpan Chikus, tempat isyarat terakhir mangsa sebelum hilang.

Ia melibatkan 10 pegawai dan 197 anggota daripada pelbagai agensi antaranya PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Udara, Bomba, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Jabatan Perhutanan Negeri selain sebuah helikopter Unit Udara PDRM turut diterbangkan bagi mengesan mangsa.

Sumber: Bernama

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana