Siakap Keli
dibuli tak reti cakap english
Kredit: Shin Min Daily via Mothership

Mak ‘Report’ Polis, Anak Dibuli Sejak Tahun Lepas Sebab Tak Reti Cakap English

Dibuli kerana tidak pandai bertutur Bahasa Inggeris, ibu kepada seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di Singapura tekad membuat laporan polis selepas anaknya menjadi mangsa buli empat pelajar sejak tahun lepas.

Shin Min Daily News menerusi Mothership melaporkan, ibu mangsa, Ma, 40, membuat keputusan melaporkannya kepada pihak polis selepas anaknya pulang ke rumah dengan kecederaan di mukanya dalam kejadian baru-baru ini.

Pada asalnya, Ma yang juga merupakan seorang pengurus bank, baru berpindah dari China ke Singapura bersama keluarganya dan menghantar anaknya ke sebuah sekolah antarabangsa di Singapura.

Difahamkan, kejadian buli itu berlaku sejak tahun lepas di mana empat pelajar terbabit mengusik anak Ma ekoran tidak fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris.

“Anak sulung telah diusik oleh empat rakan sekelas kerana tidak fasih bertutur Bahasa Inggeris sejak Ogos tahun lalu.

“Selepas itu, anak saya dibuli dengan ditolak serta dimaki hamun mereka,” katanya, memetik Mothership.

Kejadian buli itu berterusan sehingga Februari tahun ini sehingga Ma mendapati belakang badan anaknya mempunyai calar, namun kanak-kanak itu menghalangnya untuk mengadu kepada pihak sekolah.

Gambar: Shin Min Daily News via Mothership

“Anak saya tidak tahan dengan keadaan itu namun tidak membenarkan saya untuk mengadu kepada pihak sekolah,” katanya ketika menerangkan mengenai kejadian buli tersebut.

Ekoran tiada tindakan di ambil, buli itu menjadi lebih teruk sehingga dahi anak Ma bengkak disebabkan ditolak ke dinding dalam satu kejadian pada 3 Jun lalu.

Sehingga Ogos lepas, perkara yang sama turut berlaku di mana rakan sekelas telah menyandung kaki anak Ma yang menyebabkan siku dan lututnya lebam.

Seluar ditarik 10 kali

Pada 29 Ogos baru-baru ini sekitar jam 8.10 pagi, empat rakan sekelas terbabit menarik seluar anak Ma sekurang-kurangnya sepuluh kali pada hari itu.

“Suatu hari anak saya keluar dari tandas, empat rakan sekelasnya berlari ke arahnya, menanggalkan seluarnya dan menolaknya,” ujarnya.

Dimaklumkan, kejadian itu berlaku di pelbagai lokasi sekolah seperti bilik darjah, koridor, kantin, padang dan termasuk di dalam bilik kelas.

Anak Ma kemudiannya bertanya kepada salah seorang pelajar terbabit mengapa mereka melakukan perbuatan sedemikian ke atasnya.

Gambar: Shin Min Daily News via Mothership

Namun nasib tidak menyebelahinya apabila rakan sekelasnya menumbuk mukanya berkali-kali selama lima minit sehingga pendarahan berlaku.

Keadaan menjadi teruk, Ma memutuskan untuk melaporkan kepada pihak polis dan polis mengesahkan laporan dibuat serta kes masih dalam siasatan.

Selepas kejadian tersebut, Ma menerima laporan mengenai isu itu dari pihak sekolah dan ibu bapa rakan sekelas yang terlibat membuat permohonan maaf kepada keluarganya.

Pihak sekolah tidak bertolak ansur berkaitan buli

Sementara itu, pihak sekolah antarabangsa tersebut memaklumkan bahawa keselamatan dan kebajikan pelajar merupakan keutamaan mereka.

Sehubungan itu, mereka turut menjelaskan bahawa pihak sekolah tidak akan bertolak ansur dengan isu buli dan akan mengambil serius terhadap kes yang berlaku.

Dalam pada itu, sekolah tersebut berkata mereka mempunyai prosedur yang tersendiri dalam menangani insiden berkenaan.

Sumber: Shin Min Daily News via Mothership

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana