Siakap Keli
Kes Peniaga Kosmetik Yang Diculik

Polis Percaya Kes Peniaga Kosmetik Yang Diculik Ada Kaitan Dengan Sindiket Dadah

Polis Percaya Kes Peniaga Kosmetik Yang Diculik Ada Kaitan Dengan Sindiket Dadah

Pihak polis percaya bahawa sindiket dadah berkait dengan kes penculikan seorang peniaga kosmetik oleh empat lelaki semalam dalam kejadian di Kampung Semat Jal, Palekbang Tumpat, lapor Sinar Harian.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suami mangsa yang berusia 36 tahun yang bekerja sebagai nelayan telah ditahan bersama dua lagi individu lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat pada Rabu lalu.

“Suami mangsa bersama seorang suspek lelaki dan wanita yang berusia antara 35 hingga 47 tahun direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan,” kata Muhamad Zaki.

“Mengikut siasatan suami mangsa mempunyai dua rekod lampau berkaitan dengan jenayah penyeludupan manakala seorang lagi suspek lelaki mempunyai tujuh rekod lampau,” tambah Muhamad Zaki.

“Kami dapati mangsa mengetahui tentang kegiatan suaminya itu yang terlibat dalam sindiket dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Khamis.

Jelasnya, perselisihan faham diantara kalangan ahli sindiket terbabit dipercayai menjadi punca kes penculikan tersebut.

Menurut Muhamad Zaki lagi, satu operasi khas telah digerakkan bagi mengesan wanita yang berusia 36 tahun itu yang dikatakan telah dibawa ke negara jiran.

Polis Kelantan telah menghubungi pihak berkuasa negara jiran dan bekerjasama bagi membawa balik mangsa culik itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengenali suspek yang menculiknya. Setakat ini keluarga mangsa memaklumkan tiada sebarang panggilan diterima bagi meminta wang tebusan,” katanya.

Terdahulu, wanita yang dipercayai sebagai ejen produk kosmetik didakwa telah dilarikan oleh sekumpulan lelaki di rumahnya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan pada Selasa, 13 September 2022.

Mangsa yang berusia 36 tahun itu didakwa dilarikan oleh tiga individu lelaki yang tidak dikenali pada jam 5.10 petang dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Vios semalam.

Suspek didakwa mempunyai senjata semasa melarikan wanita berkenaan.

Sumber: Sinar Harian

Baca: Lubuk Rahsia Nak Makan Buffet & Spa 5 Bintang Dengan Harga Bajet Di Lembah Klang

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka