Pelancong Wanita Dilapor Cedera Lepas Diserang Sekumpulan Monyet
Seorang pelancong wanita dari Sepanyol dilaporkan cedera akibat diserang oleh sekumpulan monyet di dalam premis Taj Mahal di Agra Uttar Pradesh pada Isnin.
Memetik laporan India Today, mangsa telah dimasukkan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Selain dari wanita tersebut, monyet-monyet itu turut mencederakan seorang kanak-kanak berusia 8 tahun yang telah digigit pada bahagian belakang hingga terpaksa diberikan bantuan kecemasan oleh pegawai Arkeologi India (ASI).

Kanak-kanak itu pulang bersama ibu bapanya tanpa sempat untuk masuk ke dalam binaan bersejarah itu.
Dalam pada itu, pegawai ASI mendakwa bahawa mereka telah pun menghantar empat anggota untuk mengawal sekumpulan monyet yang berkeliaran di kawasan itu dan melindungi para pelancong dari diserang oleh haiwan tersebut. Namun, nasib malang menimpa pelancong Sepanyol itu apabila serangan monyet terhadapnya tidak berjaya dihalang.
Memetik India Today, usaha untuk menghapuskan atau memindahkan monyet-monyet tersebut tidak membuahkan hasil kerana terikat dengan undang-undang perlindungan haiwan dan kepercayaan bagi sesetengah agama yang tidak membenarkan haiwan itu diburu.

Mengulas lanjut, setiausaha Dewan Kebajikan Pelancong Agra, Vishal Sharma berkata, ASI harus bekerjasama dengan jabatan hutan dan pada masa yang sama mencari jalan untuk mengekang ancaman monyet di kawasan tarikan pelancong itu.
Taj Mahal merupakan monumen ikonik abad ke-17 yang telah berjaya menarik perhatian ribuan pelancong dari dalam dan luar negara setiap tahun. Tambahan pula, bangunan tersebut mempunyai latar belakang sejarah yang sangat menarik.
BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China
BACA JUGA: “Jangan Risau Kantoi,” Abang Ni Kongsi ‘Helah’ Nak Ajak Member Pergi Bangkok Secara Percuma
Sumber: India Today