Siakap Keli
Kredit: Twitter

“Rasa Macam Naik ETS…”, Lelaki Kongsi Tips Travel Ke Bangkok Dari Hat Yai Guna Kereta Api No.32 Special Express CNR

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Seorang penulis blog berkongsi pengalamannya menaiki kereta api dari Hatyai ke Bangkok untuk kali pertama. Beliau telah menaiki kereta api No. 32 Special Express CNR dari Hat Yai ke Bangkok selama 19 jam. Dalam perjalanan ini, beliau berkongsikan bagaimana pengalamannya bermula daripada memasuki kereta api sehingga sampai ke destinasi.

Anda pernah menggunakan ETS di Malaysia? Kebanyakan rakyat Malaysia berpuas hati dengan perkhidmatan tren elektrik ini. Bayangkan anda boleh mendapatkan perkhidmatan yang lebih kurang sama semasa melancong ke Thailand? Mari kita telusuri catatan pengalaman oleh seorang penulis blog ini.

Menurut ciapan Hazwan Hafiz di Twitter, dia telah menggunakan perhidmatan kereta api ini untuk bergerak dari Hatyai ke Bangkok. Berdasarkan destinasi tersebut, beliau menaiki kereta api No. 32 Special Express CNR selama 19 jam. Jika perjalanan melebihi 12 jam, sudah semestinya kita akan merasa mengantuk dan ingin melabuhkan kepala ke atas bantal. Ya, kereta api ini juga memiliki katil untuk para penumpangnya tidur dengan selesa.

Kredit: Twitter

Sebelum memulakan perjalanan, Hazwan Hafiz menunjukkan jadual perlepasan bagi setiap kereta api di Stesen Hatyai Junction. Beliau mengatakan bahawa kereta api yang dinaikinya akan tiba pada 5.45 petang waktu tempatan. Menariknya, papan perlepasan ‘manual’ ini sangat klasik kerana sudah jarang digunakan pada masa kini. Kini, waktu perlepasan biasanya dipaparkan secara elektronik dan automatik.

Kredit: Twitter

Secara umumnya, terdapat beberapa perjalanan kereta api ke Bangkok setiap hari. Seperti ETS, terdapat beberapa kelas tiket yang boleh dipilih merangkumi kelas pertama, kedua dan ketiga. Anda juga boleh memilih tiket mengikut keselesaan anda, sama ada inginkan tempat duduk yang memiliki pendingin hawa ataupun kipas.

Kemudahan Yang terdapat Dalam Special Express CNR

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, penulis blog ini menaiki kereta api No 32 Special Express CNR. Kereta api ini kelihatan lebih moden berbanding dengan jenis-jenis rangkaian kereta api yang lain. Beliau memilih untuk mengambil katil bawah kelas kedua dengan harga 1105 baht (RM135.19). Sudah semestinya, harga bagi tiket kelas pertama lebih mahal.

Kredit: Twitter

Bagi Special Express CNR, penumpang hanya diberikan dua pilihan sahaja iaitu kelas pertama dan kedua, serta semua tempat duduk dilengkapi dengan penyaman udara. Selain itu, setiap tempat duduk akan memiliki soket tersendiri bagi fungsi pengecasan telefon. Diingatkan kepada sesiapa yang berhajat untuk menaiki kereta api ini untuk membawa universal adapter sendiri.

Kredit: Twitter

Seusai jam menunjukkan 7 malam, petugas kereta api akan datang ke setiap tempat duduk penumpang untuk mengubah kerusi mereka kepada katil. Untuk menjamin kebersihan dan menjaga standard, setiap penumpang akan diberikan selimut, bantal dan cadar baharu. Ada juga meja kecil yang boleh digunakan oleh penumpang untuk membuat kerja menulis, menaip dan sebagainya.

Perkhidmatan Tandas di Dalam Kereta Api

Perjalanan 19 jam akan membuatkan anda rasa terkucil dan sekali sekala ingin membuang hajat. Hazwan Hafiz berkata, jangan risau. Terdapat tandas yang disediakan di dalam kereta api ini. Menurut beliau, tandas kereta api ini memiliki sinki besar di luar dan tandas yang luas di belakang gerabak. Tandas ini menggunakan kaedah flush sedutan vakum seperti tandas kapal terbang. Kebersihan bagi tandas ini sangat memuaskan hati.

Untuk pengetahuan anda, kereta api cuma akan berhenti di bandar-bandar besar bagi mengambil dan menurunkan penumpang. Pengalaman menaiki kereta api ini seolah-olah menaiki ETS. Keadaannya sungguh senyap dan lancar, tiada bunyi bising kedengaran jika dibandingkan dengan kereta api model lama.

Berdasarkan pengalaman Hazwan Hafiz, pemandangan paling lawa dapat dilihat ialah pada waktu selepas Subuh. Anda dapat menyaksikan detik-detik terbitnya matahari sambil diselubungi selimut dan mengimbau kenangan lama. Pada masa itu juga, anda boleh mencuci mata dengan suasana kampung, sawah bendang, pekan-pekan kecil dan sebagainya.

Kredit: Twitter

Pada masa tersebut, petugas keretapi akan mengemaskan katil penumpang untuk ditukarkan menjadi bentuk kerusi seperti rupa asal. Bagi yang masih tidur dan berselimut, mereka tidak akan menganggu anda kerana perubahan katil kepada tempat duduk ini adalah berdasarkan kehendak penumpang sahaja. Anda boleh menyambung sesi melayan perasaan tanpa ada sebarang gangguan.

Bagaimana Untuk Mendapatkan Makanan Dalam Kereta Api?

Namun begitu, berat hati untuk mengatakan bahawa tiada kafe dalam kereta api ini. Bagaimana hendak mengatasi rasa lapar sewaktu perjalanan yang hampir memakan masa sehari? Bagi sarapan pagi, anda boleh membawa makanan segera sebelum naik kereta api, seperti mi segera, bubur dan lain-lain.  Anda juga boleh meminta kopi panas dan air panas (untuk memasak mi segera) daripada petugas berdekatan.

Bagi sesiapa yang memiliki selera yang besar, anda boleh membungkus sarapan siap-siap supaya mampu bertahan selama 19 jam.  Jika anda merasakan mi segera masih tidak memadai, anda boleh membeli nasi khaomok atau pulut ayam Hat Yai sebelum menaiki kereta api. Suasana menikmati makanan tempatan sambil melihat pemandangan pada luar tingkap tidak dapat diungkapkan melalui kata-kata.

Jika anda tidak sempat membeli makanan, kereta api akan berhenti kira-kira sepuluh minit di Stesen Hua Hin pada 7.00 pagi. Di stesen ini, akan ada seorang makcik yang akan memasuki ke dalam kereta api untuk menjual juadah sarapan pagi kepada para penumpang. Walau bagaimanapun, penumpang yang beragama Islam sebaik-baiknya membawa juadah sendiri kerana status halalnya lebih diyakini.

Tiba Di Destinasi

Akhir sekali, kereta api akan berhenti di Stesen Bangkok atau nama dulunya dikenali sebagai Stesen Hua Lumphong lebih kurang 12.30 tengah hari. Anda juga boleh memilih untuk berhenti di stesen sebelumnya iaitu Bang Sue Grand Station. Untuk makluman, semua operasi kereta api selepas ini akan dipindahkan ke Bang Sue Grand Station.

Kredit: Twitter

Akan tetapi, Encik Hazwan Hafiz menekankan bahawa terdapat banyak jenis kereta api untuk perjalanan dari Hat Yai ke Bangkok. Ada juga kereta api lama yang menawarkan harga yang lebih murah. Anda perlu pastikan nombor kereta api sebelum membeli tiket. Bagi kereta api moden buatan China ini dipanggil sebagai Tren No 32 Special Express CNR.

Jika anda yang tersalah beli tiket, anda terpaksa menaiki tren lama dan sudah semestinya, pengalamannya tidak sama seperti yang dinyatakan oleh penulis blog ini. Tiket kereta api ini boleh dibeli menerusi platform atas talian menerusi laman web Thai Railways. Semoga perkongsian Encik Hazwan Hafiz ini boleh membantu kita untuk merancang perjalanan ke negara gajah putih dengan lebih sistematik dan selesa.

Sumber: Hazwan Hafiz via Twitter

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma