Siakap Keli
edit sempurna uai
Gambar: FB UAI/Edit Apa Hari Ni

“Alhamdulillah Saya Lihat Awak Dah Sempurna..” – UAI

Siapa sahaja yang tidak mengetahui kewujudan kumpulan Facebook yang sangat mencuit hati, Edit Apa Hari Ni?. Lain yang diminta, lain pula hasil gambar kita ‘digasak’ oleh para warganet. Boleh dikatakan suntingan gambar yang dilakukan oleh rakyat Malaysia ini kreatif belaka.

Namun, tidak semua permintaan ahli kumpulan tersebut diambil remeh. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan nilai sentimental seperti keinginan untuk mendapatkan zuriat, melihat gambar ahli keluarga yang sudah lagi tiada dan seumpamanya. Ternyata, sifat prihatin warganet Malaysia mengatasi gelagat nakal yang biasa ditunjukkan hari-hari.

Hari ini, suasana riang group ini bertukar menjadi hiba apabila seorang individu yang dipercayai mempunyai ‘kekurangan’ daripada sudut fizikal memohon untuk menyunting gambarnya menjadi seseorang yang lebih kelihatan ‘sempurna’.

Individu yang bernama Faiz Noor itu memuat naik sekeping gambar keluarga, memaparkan keberadaan dirinya yang berdiri di samping isteri dan dua anak kecil dalam penampilan masing-masing seakan berbaju raya. Dalam hantaran itu, Faiz berkata,

“Boleh tak edit badan saya sempurna macam orang normal…teringin sangat nak tengok,” katanya disusuli ’emoji’ senyum.

Hantaran yang dibuat pada sekitar siang tadi itu meraih lebih 25,000 tanda ‘Suka’, dihujani hampir 3,000 komentar serta turut dikongsi hampir 1,000 perkongsian di platform media sosial berkenaan.

Dalam masa sama, hantaran hiba tersebut turut meraih perhatian daripada ramai pengguna Facebook menerusi ruangan komentar. Antara yang cukup menarik ialah komentar daripada pendakwah terkenal dari Terengganu, Ustaz Azhar Idrus (UAI).

Dalam komentar itu, UAI memberi maklum balas ringkas berbunyi, “Alhamdulillah saya lihat awak dah sempurna..tak perlu edit lagi,” disusuli ’emoji’ mesra. Komentar itu menerima lebih 8,000 tanda ‘Suka’ daripada orang ramai.

Berdasarkan kenyataan ringkas tersebut, dapat disimpulkan bahawa daripada kaca mata UAI sendiri, Faiz hakikatnya sudah pun memiliki diri yang serba-serbi sempurna dan tiada apa perlu ‘disempurnakan’ lagi.

Kredit: Facebook

Selain itu, terdapat komentar daripada ahli keluarganya yang memberi sokongan tidak terbelah bahagi kepada Faiz Noor. Difahamkan, individu bernama Zuriana Hanaffi menzahirkan kesyukuran atas kehadiran dirinya sebagai ahli keluarga.

Kredit: Facebook

Malah dalam masa sama, antara komentar pilihan adalah daripada isterinya sendiri yang sudah semetsinya menjadi tonggak utama dalam kehidupan Faiz. Isterinya, Atirah Hanaffi berterima kasih atas respon positif rakyat Malaysia dan meminta agar diberikan kekuatan dalam menghadapi kehidupan bersama-sama.

Kredit: Facebook

Reaksi pengguna Facebook lain

Terdapat pelbagai reaksi daripada penguna Facebook lain yang disifatkan sangat ‘heartwarming‘. Ramai yang mendoakan agar Faiz Noor dan keluarganya dilimpahkan rezeki berupa kesihatan yang baik serta anak-anak yang soleh dan solehah.

Kredit: Facebook

Ada juga pengguna Facebook yang cuba merealisasikan hajat Faiz Noor dengan menyunting gambarnya mengikut permintaannya. Ternyata bakat yang dimiliki rakyat-rakyat Malaysia ini sangat boleh dibanggakan.

Gambar disunting oleh Meor Apeh
Gambar disunting oleh Faiza Md Fadzil 

Pemilik foto tersebut sangat gembira melihat hajatnya dapat direalisasikan oleh pengguna-pengguna Facebook yang lain. Dia memuji hasil suntingan tersebut dan mengucapkan terima kasih atas usaha Faiza Md Fadzil untuk menunaikan hajatnya.

Kredit: Facebook

Terdapat beberapa juga suntingan lain yang disifatkan cantik. Senang cerita, rakyat Malaysia boleh dikatakan berbakat besar belaka, lebih-lebih lagi dalam situasi seperti ini.

Gambar disunting oleh Cik Abby Suliana 
Gambar disunting oleh Mahadi Ilias 

Reaksi yang bersifat indah ini dapat memberikan indikator bahawa rakyat Malaysia memang sangat penyayang dan sudi membantu antara satu sama lain. Menurut perspektif lain, jika bakat yang dimiliki ini disalurkan ke saluran yang betul, status negara maju bukan lagi satu igauan.

Akhir sekali, kepada Encik Faiz Noor, anda merupakan insan yang sempurna di mata kami. Kelainan yang anda miliki bukanlah satu kekurangan tetapi ia menjadikan anda seorang insan yang luar biasa. Selamat maju jaya.

Sumber: Edit Apa Hari Ini?

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma