Siakap Keli
Gambar : CNN

Lelaki Nekad Bakar Diri, Protes Pengebumian Shinzo Abe

Lelaki Nekad Bakar Diri, Protes Pengebumian Shinzo Abe

JEPUN – Seorang lelaki warga emas nekad membakar dirinya berhampiran pejabat perdana menteri untuk menentang rancangan pengebumian negara buat bekas Perdana Menteri Shinzo Abe akhir bulan September.

Dilaporkan, lelaki berusia 70-an itu telah dibawa ke hospital di Tokyo selepas diselamatkan oleh pasukan penyelamat.

“Polis menemui seorang lelaki yang melecur berhampiran pejabat kabinet pagi tadi dan siasatan sedang dijalankan,” kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Hirokazu Matsuno kepada pemberita.

Menurut laporan, lelaki itu memberitahu polis dia menentang rancangan untuk mengadakan pengebumian negara buat bekas Perdana Menteri Shinzo Abe akhir bulan ini.

Kini, pihak polis sedang mengumpul bukti daripada kamera litar tertutup dan saksi.

Sementara itu, dilaporkan bahawa seorang pegawai yang cuba memadamkan api telah cedera dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Shinzo Abe merupakan Perdana Menteri Jepun yang paling lama berkhidmat. Beliau memegang jawatan dari 2006 hingga 2007 dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020 sebelum meletak jawatan atas faktor kesihatan.

Beliau meninggal dunia akibat pendarahan yang kritikal semasa berusia 67 tahun selepas ditembak ketika memberi ucapan kempen awam pada bulan Julai lalu.

Kerajaan Jepun telah mengumumkan akan mengadakan pengebumian negara untuk Abe pada 27 September 2022.

Dilaporkan, acara itu telah menelan kos sehingga $12 juta (RM53,706,000.00).

Kos yang tinggi diperlukan untuk bayaran keselamatan dan penerimaan yang tinggi untuk menjadi tuan rumah tetamu kenamaan asing.

Penentangan terhadap upacara itu semakin meningkat dikalangan penduduk Jepun.

Penunjuk perasaan marah kerana kerajaan mengunakan dana awam yang terlalu tinggi untuk acara itu.

Pengebumian negara di Jepun biasanya dikhaskan untuk ahli keluarga diraja. Namun, penghormatan itu juga diberikan kepada bekas Perdana Menteri Shigeru Yoshida pada tahun 1967.

Walaupun menang berdasarkan undian, Abe sering dikaitkan dengan kontroversi dan terlibat dalam beberapa skandal.

Kontroversi muncul semasa lawatan ke Kuil Yasukuni, termasuk nama penjenayah perang yang disabitkan kesalahan dan dianggap oleh China, Korea Utara dan Korea Selatan sebagai simbol masa lalu tentera empayar Jepun.

Sumber : CNN

Anis Annisa