Siakap Keli
riwayat hidup imam al-syafi'e
Gambar Via Madeenah.com

Mula Berfatwa Sejak Usia 15 Tahun, Ketahui Riwayat Hidup Imam Al-Syafi’e

Mula Berfatwa Sejak Usia 15 Tahun, Ketahui Riwayat Hidup Imam Al-Syafi’e

Bermula dari zaman Rasulullah SAW sehingga zaman kegemilangan para sahabat nabi, kita dapat menyaksikan bagaimana kegagahan umat Islam terdahulu berjuang dalam menegakkan syariat Islam.

Tambahan lagi, umat Islam terdahulu rela mempertaruhkan nyawa mereka agar dapat mempertahankan agama mereka daripada tercalar apabila menyertai pelbagai perang dan menjaga akhlak dengan sebaiknya.

Sebuah perjuangan di jalan Allah (jihad) bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan kecekalan tinggi dari semua sudut. Perjuangan itu kemudiannya diteruskan oleh seorang tokoh yang dikenali sebagai Imam Syafi’e.

Siapa Imam Syafi’e ini? Untuk mengetahuinya, mari kita selami dengan lebih mendalam mengenai kisah beliau.

Latar Belakang Dan Pendidikan Imam al Syafi’e

Muhammad bin Idris bin al Abbas bin Uthman bin Syafie bin Ubaid bin Abdu Yazid bin Hasyim bin al Muttalib bin Abdi Manaf atau lebih dikenali sebagai Imam al Syafi’e dilahirkan pada tanggal 150 Hijrah di sebuah tempat bernama Ghazzah di kota ‘Asqalan.

Difahamkan, Imam Syafi’e merupakan keturunan Nabi Muhammad SAW yang bertemu nasabnya pada Abdu Manaf.

Sewaktu berumur dua tahun, beliau dibawa oleh ibunya ke Hijaz sehingga umurnya mencapai 10 tahun, ibunya membawa beliau ke Mekah kerana takut keturunan mulianya dibunuh. (Rujuk Manaqib al-Syafi’e oleh Imam al-Baihaqi, 1/472 dan Tawali al-Ta’sis li Ma’ali Muhammad ibn Idris, hlm. 51)

Kemudian, beliau sekali lagi berpindah ke Madinah ketika umur 12 tahun. Kehebatan beliau tidak perlu disangkal apabila hanya dalam tempoh sembilan hari, Imam al-Syafi’e telah berjaya menghafal kitab al-Muwatto sehingga berjaya mendapat didikan di bawah Imam Malik.

riwayat hidup imam al-syafi'e
Gambar: Studio Arabiya

Sewaktu berguru dengan Imam Malik, beliau terkenal kerana menjadi anak murid yang paling alim dan turut belajar daripada ulama lain. Menginjak umur 15 tahun, beliau mendapat kebenaran untuk berfatwa.

Ketika berpindah ke Yaman, beliau sempat menuntut  dengan ramai orang ternama seperti Mutorrif bin Mazin, Hisyam bin Yusuf, ‘Amru bin Abi Salamah, Yahya bin Hassan sebelum menetap di Iraq.

Di bumi Iraq, Imam al-Syafi’e berguru dengan Waki’ bin Jarrah, Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, Hammad bin Usamah, Ayyub bin Suwaid al-Ramli dan Ismail bin ‘Ulayyah.

Beliau masih meneruskan jihadnya dengan mengarang kitab al-Hujjah yang menghimpunkan pandangan beliau yang lama (qaul qadim).

Selepas mengarang kitab, Imam al-Syafi’e berpindah ke Mesir dan mengubah banyak fatwa-fatwa beliau yang lama serta mengasaskan mazhab baharu yang menghimpunkan qaul jadid yang tertulis dalam kitab al-Umm.

Sehubungan itu, beliau telah diiktiraf sebagai mujaddid (pembaharu) agama Islam bagi kurun kedua kerana telah menghimpunkan antara dua manhaj iaitu Ahlu Ra’yi yang diasaskan oleh Imam Abu Hanifah dan manhaj Ahlu al-Hadith yang dilazimi oleh Imam Malik bin Anas.

Ketokohan Imam al-Syafie

Kehebatan, kecerdasan dan ketokohan Imam al-Syafie sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi oleh sesiapa.

Menurut Imam al-Karabisi, “Kami tidak mampu mengistinbatkan hukum daripada hadith-hadith dan kami tidak mengetahui hakikat sebenar al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma sehinggalah Imam al-Syafi;e mengajarkan kami”.

riwayat hidup imam al-syafi'e
Gambar: Getty Images

Sementara itu, Imam Ahmad bin Hanbal turut berkata bahawa beliau merupakan seorang ahli falsafah dalam empat bidang iaitu Bahasa Arab, perselisihan manusia, ilmu ma;ani dan fiqh.

Antara kitab mahsyur beliau termasuklah Ar-Risalah dan Al-Umm.

Pesanan Imam al Syafie

Imam al-Syafie merupakan orang pertama yang meletakkan batu asas kukuh bagi ilmu Maqasid Syariah dan menggunakan istilah “Maqasid al-Syari’ah”. Dalam fikrah Maqasid Syariah, beliau banyak menerapkan perkara seperti pengharaman sesuatu perkara solat, puasa, kewajipan zakat dan juga mengharamkan benda yang mabuk.

Tujuan Solat

Imam al-Juwaini menukilkan kata-kata Imam al-Syafi’e: Ma’na yang dituntut daripada solat itu ialah bagi menghasilkan kekhusyukan dan ketundukan, penyerahan diri kepada Allah SWT, memperbaharui hati dengan pesanan-pesanan yang baik, hikmah yang sempurna, tafakkur terhadap ayat-ayat al-Qur’an serta doa kepada Allah SWT.

Kerana itulah beliau melarang keras solat seumpama ayam yang mencatuk makanan kerana bercanggah dengan asas solat itu sendiri. (Rujuk Mughith al-Khalq hlm. 78-79 dan Maqasid al-Syariah ‘inda al-Imam al-Syafi’e hlm. 91-92).

Objektif Puasa

Menurut Imam al-Syafi’e, puasa ialah sebagai ujian dan menilai kepatuhan terhadap Allah SWT, manakala objektif kedua ialah supaya manusia berlapar dan belajar melawan dorongan hawa nafsu. (Rujuk Mughith al-Khalq hlm. 88)

Kewajipan zakat

riwayat hidup imam al-syafi'e
Gambar: Google

Imam al-Juwaini menukilkan kata-kata Imam al-Syafi’e berkenaan zakat.

“Membayar zakat itu mestilah disegerakan, dan kewajipan itu tidak gugur dengan kematian. Jika kita katakan tidak wajib segera membayar zakat (tarakhiy) dan gugur kewajipan jika pembayar meninggal dunia, maka hal ini sebenarnya menyanggahi hikmah dan objektif syarak (maqasid) daripada pensyariatan zakat itu sendiri”.(Rujuk Mughith al-Khalq hlm 60-61 dan Maqasid al-Syariah ‘inda al-Imam al-Syafi’e hlm. 43).

Pengharaman benda yang memabukkan sebagai maqasid hifz al-aql

Haram bagi seseorang itu meminum arak, hatta untuk perubatan, kerana ia menghilangkan kewarasan dan kesedaran aqal, dan ia mencegah pula seseorang daripada melaksanakan kewajipannya dan membawa pula kepada perkara-perkara yang haram. (Rujuk Al-Umm 2/253)

Kewafatan Imam al-Syafi’e

Kecintaan beliau dalam ilmu pengetahuan yang sangat mendalam membuatkan dirinya menjadi kurang sihat dan menghidap penyakit berat.

Difahamkan, beliau menderita penyakit buasir yang sangat parah dan membimbangkan ekoran kurang penjagaan.

Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam menceritakan keadaan Imam al-Syafie yang menderita kesakitan: “Al-Syafie menderita penyakit buasir yang sangat parah dan membimbangkan. Dia menyedari, sakitnya itu kerana kurang penjagaan dan tidak mempedulikan pantang-larang”.

Menurut Imam al-Muzani, beliau menemui Imam al-Syafi’e Rahimahullah sewaktu sakit dan bertanya kepadanya

“Bagaimana keadaanmu tuan guru?” katanya.

“Keadaanku pada pagi ini dari dunia akan berkelana dari sahabat-sahabat terpisah, kepada Allah akan aku menemui, segelas kematian akan kuhirup dan buruk amalanku akan kutempuhi.

“Aku tidak tahu adakah diriku menuju ke syurga, maka aku ucapkan tahniah atau ke neraka maka aku ucapkan takziahnya,”  jawab Imam al-Syafie sebelum menangis.

Selain itu, beliau juga turut mengalunkan syair yang berbunyi seperti ini;

وَلَمّا قَسا قَلبي وَضاقَت مَذاهِبي          جَعَلتُ الرَجا مِنّي لِعَفوِكَ سُلَّما

تَعاظَمَني ذَنبي فَلَمّا قَرَنتُهُ                بِعَفوِكَ رَبّي كانَ عَفوُكَ أَعظَما

فَما زِلتَ ذا عَفوٍ عَنِ الذَنبِ            لَم تَزَل تَجودُ وَتَعفو مِنَّةً وَتَكَرُّما

Tatkala kerasnya hatiku dan sempitnya jalan-jalanku

          Aku jadikan harapanku untuk ampun-Mu sebagai tangga

Maka besarlah dosaku tapi tatkala aku bandingkannya

          Dengan ampun-Mu Tuhanku, adalah ampun-Mu itu lebih besar

Maka sentiasalah Kamu ampunkan dosa

          Dan sentiasalah-Mu Pemurah, Pengampun, kurniaan dan kemuliaan

Imam al-Syafie menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di Mesir pada hari Khamis awal bulan Sya’ban tahun 204 Hijrah sewaktu berusia sekitar 54 tahun.

Tambahan lagi, beliau menghembuskan nafas yang terakhir di sisi muridnya yang setia, iaitu Imam al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi Rahimahullah.

Sewaktu meninggal dunia, beliau meninggalkan wasiat terakhir kepada Abdullah bin Abdul Hakam. Jenazah beliau dikebumikan anak-anak Abdul Hakam pada penghulu hari iaitu Jumaat selepas Asar pada keesokannya di Barat al-Khandak.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Syariah Disisi Imam Syafi’e), (Saat Kematian Imam Syafi’e)

BACA JUGA: “Baju Diconteng, Buku Dikoyak & Dibuang, Tapi Akhirnya Aku Yang Dimarahi Guru, Siap Kena Pulau Dengan Kawan-kawan”

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?