Siakap Keli
Gambar: Latestly

Saintis China Berjaya Hasilkan Klon Serigala Artik Pertama Di Dunia Guna Teknologi Genetik

Saintis China Berjaya Hasilkan Klon Serigala Artik Pertama Di Dunia Guna Teknologi Genetik

CHINA – Penyelidik di China dilapor telah berjaya mengklonkan serigala Artik liar yang diancam krisis kepupusan dengan bantuan teknologi genetik.

Menurut CNN, penyelidik di China juga berharap agar teknologi genetik yang dirundung kontroversi itu dapat membantu menyelamatkan spesies haiwan yang terancam di dunia akibat krisis kepupusan.

Dilaporkan bahawa, syarikat Sinogene Biotechnologi telah mendedahkan klon serigala betina bernama Maya kepada umum pada Isnin.

Pendedahan tersebut dilakukan untuk menandakan 100 hari kelahirannya yang dilahirkan pada 10 Jun lalu.

Maya, anak serigala yang berwarna kelabu-coklat berada dalam keadaan sihat dan memiliki ekor yang lebat.

Video Maya sedang bermain dan berehat ditayangkan di sidang akhbar pelancaran klon tersebut.

“Selepas dua tahun berusaha, serigala Artik berjaya diklonkan. Ia adalah yang pertama di dunia,” kata Mi Jidong, pengurus besar syarikat itu.

Serigala Artik atau dikenali sebagai serigala kutub merupakan subspesies serigala kelabu yang berasal dari Kepulauan Artik, Utara Kanada.

Menurut Dana Hidupan Liar Dunia, serigala tersebut diancam dengan perubahan iklim yang menjejaskan bekalan makanannya.

Selain itu, pembangunan yang dijalankan seperti jalan raya dan saluran paip yang dibina turut memberi faktor kepupusan spesies tersebut.

Sinogene telah melancarkan projek pengklonan serigala Artik tersebut pada 2020 dengan kerjasama Taman Tema Kutub Harbin Polarland.

Untuk menghasilkan Maya, syarikat itu menggunakan proses pemindahan nuklear sel somatik.

Teknik itu merupakan teknik yang sama digunakan untuk mencipta klon mamalia pertama, Dolly the Sheep pada tahun 1996.

Sampel kulit asli serigala Artik yang bernama Maya dari Kanada digunakan sebagai sel penderma.

Kemudian, sel tersebut disuntik ke dalam telur anjing betina sebagai ibu tumpang.

Para saintis telah mencipta 85 embrio dan dipindahkan ke dalam rahim tujuh ekor anjing Beagles.

Pemindahan sel dan embrio tersebut telah berjaya melahirkan Maya.

Syarikat itu berkata dalam catatan di Weibo bahawa serigala Artik klon kedua dijangka dilahirkan tidak lama lagi.

“Teknologi pengklonan merupakan teknik yang terbaik untuk melindungi haiwan liar yang terancam. Selain itu, teknik tersebut akan memberikan sumbangan yang besar kepada perlindungan biodiversiti.” kata He Zhenming, Pengarah Institut Sumber Haiwan Makmal Institut Kawalan Makanan dan Dadah Kebangsaan China.

Beliau menambah bahawa, kejayaan Maya merupakan mercu tanda yang penting kepada perlindungan hidupan liar dunia dan pemulihan spesis terancam.

Syarikat itu akan mula bekerjasama dengan Taman Hidupan Liar Beijing untuk mengkaji lebih banyak teknologi dan aplikasi pengklonan.

Selain itu, penyelidikan mengenai pemuliharaan dan pembiakan haiwan yang jarang ditemui dan terancam di China juga akan dilakukan.

Menurut Global Times, Maya asal meninggal dunia pada usia tua pada 2021.

Maya yang diklon itu kini tinggal bersama ibu tumpangnya dan akan ditempatkan di Harbin Polarland, terbuka kepada orang ramai.

Sumber : CNN

Baca: “Rugi Ni Bang,” Penuh Satu Troli, Tiba-tiba “Cashier” Mydin Kata Tak Baloi Bayar Macam Ni

Anis Annisa