Siakap Keli
pengusaha roti menang kes saman dc comics
Gambar via Oddity Central

‘Superpan’ Kalahkan ‘Superman’, Pengusaha Kedai Roti Menang Saman DC Comics Atas Kes ‘Copyright’

‘Superpan’ kalahkan ‘Superman’, seorang pengusaha kedai roti di kawasan kejiranan terpencil di Chile akhirnya menang kes saman oleh syarikat komik US, DC Comics atas tuduhan pelanggaran hak cipta.

Lapor Oddity Central, kemenangan berpihak kepada pengusaha kedai roti itu untuk mengekalkan jenama Superpan setelah kes saman oleh DC Comics tersebut dibawakan ke mahkamah sejak tiga tahun lalu.

Pada asalnya pemilik kedai roti itu, Gonzalo Montenegro, 41, mempromosikan produknya dengan memakai t-shirt hijau ‘Peter Pan’ dan tidak lama kemudian pelanggan mula memanggilnya ‘Superpan’.

Menurutnya temu bual bersama pemberita tempatan, Superpan merupakan satu jenama yang menggabungkan nama Superman dan ‘pan’, satu perkataan dalam Bahasa Sepanyol yang bermaksud roti.

Difahamkan, Montenegro telah menggunakan nama Superpan itu sejak 28 tahun lalu untuk menjual produk rotinya di kedai berkenaan yang terletak di Quitan Normal, Santiago.

Mula disaman DC Comics

Namun, kira-kira tiga tahun lalu dia telah disaman oleh DC Comics yang merupakan pemilik nama Superman, iaitu merujuk kepada salah seorang watak adiwira ciptaan mereka.

Montenegro berkata perkara itu mulai memuncak apabila dia membenarkan orang awam menjual produknya di bawah jenama Superpan semasa zaman pandemik lalu.

Dia menganggap sebahagian mereka mula mempromosikannya dalam talian sehingga menarik perhatian DC Comics, selaku sebuah syarikat global dan salah satu penerbit buku komik terbesar dan tertua di US.

Gambar via Oddity Central

Ujarnya, dia percaya bahawa DC Comics menganggapnya memiliki sebuah kilang roti besar dan bukan kedai roti di kawasan kejiranan terpencil milik keluarga seperti yang diusahakannya kini.

Tambahnya jika tidak, ia tidak masuk akal bagi pihak DC Comics untuk menyamannya, namun malangnya pada akhirnya dia disaman juga oleh syarikat komik itu.

Dengan saman yang dikenakan ke atasnya, Montenegro mendapati dirinya dicabar di mahkamah atas penggunaan nama Superpan yang didakwa seakan sama dengan Superman.

Peguam perbadanan berkata, sekiranya Superpan beroperasi maka ia akan menimbulkan kekeliruan orang ramai serta membahayakan jenama Superman.

Keadaan menjadi tidak terkawal apabila syarikat Chile Agrosuper turut menyertai tuntutan mahkamah, menuduh Superpan melanggar hak cipta jenamanya sendiri seperti ‘Superpollo’, ‘Supercerdo’ dan lain-lain.

Menang kes lepas tiga tahun

Kini, selepas hampir tiga tahun, Institut Harta Perindustrian Negara (Chile) (INAPI) mengisytiharkan bahawa Superpan tidak melanggar mana-mana harta intelek dan bebas untuk menggunakannya di masa hadapan.

“Tempat kami bebas untuk bersosial, sekiranya ada roti yang berlebihan kami akan sedekahkan kepada yang memerlukan.

“Pihak DC percaya bahawa mereka telah menyaman sebuah syarikat tetapi mereka menjumpai saya, seorang lelaki yang rendah hati yang akan membuang segalanya untuk memakai nama samaran yang dikagumi ketika dia masih kanak-kanak,” katanya lagi.

Selepas kemenangan dalam kes itu, Superpan akhirnya dapat kembali berkhidmat kepada komunitinya seperti sedia kala seumur hidup.

Walaupun pihak DC Comics masih mempunyai pilihan untuk membuat rayuan, perwakilan undang-undang kedai roti itu percaya bahawa mereka tidak akan meneruskannya.

Rentetan itu, media Chile menerbitkan cerita dengan tajuk seperti ‘Superpan mengalahkan Superman’ selepas kemenangan kedai roti itu diumumkan.

Sumber: Oddity Central

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana