Siakap Keli
markas nuklear Soviet di Poland
Kredit: Grzegorz Kiarszys/Mieczyslaw Zuk via BBC

Arkeologis Temui Markas Nuklear Tinggalan Soviet Di Poland, Banyak Sampah Cetus Kontroversi

Daripada mainan kepada ubat gigi, barang-barang peninggalan telah ditinggalkan di bekas markas senjata nuklear di Poland, merungkaikan lebih banyak perspektif terhadap pegawai-pegawai Soviet dan ahli keluarga mereka yang pernah menetap di sana.

Pada pagi Sabtu, terdapat sebuah keluarga pegawai Soviet sedang menghabiskan masa bersama-sama di sebuah kem ketenteraan Soviet yang berada di dalam ceruk-ceruk hutan Poland, berbatu-batu jauhnya daripada perkampungan yang berdekatan.

Ketika itu, kanak-kanak sedang menggosok gigi mereka seusai sahaja menghabiskan makanan sarapan mereka. Kemudian, mereka bergegas ke luar untuk bermain permainan ala-ala tentera dengan menggunakan pistol air. Si bapa mengenakan uniform rasminya, dengan butang berbentuk tukul dan sabit bersinar di bawah sinaran matahari. Manakala, si ibu sedang menduduki permainan catur.

Akan tetapi, tiada siapa yang tahu apa yang ada di bawah tapak kaki mereka yang menjadi satu kerahsiaan iaitu markas bom nuklear, yang kemungkinan mampu menghasilkan letupan lebih kuat daripada bom yang pernah dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945.

Gambar: Grzegorz Kiarszys via BBC

“Pegawai yang memerintah pada masa itu sudah maklum akan situasi tersebut tetapi demi kesihatan psikologi mereka, ia penting untuk membuat satu ilusi seakan-akan ‘kehidupan harian yang aman’ ” kata Grzegorz Kiarszys, seorang ahli arkeologi di Universiti Szczecin.

Beliau juga melakukan kajian terhadap tinggalan dan sampah sarap yang terdapat pada tiga tapak yang pernah menjadi markas senjata nuklear Soviet di barat laut Poland.

Terdapat tiga markas iaitu Podborsko, Templewo and Brzeźnica Kolonia yang pernah didiami oleh 140 orang, majoritinya merupakan pegawai askar. Akan tetapi, ada beberapa pegawai yang dibenarkan untuk membawa ahli keluarga terdekatnya untuk tinggal bersamanya di kem tersebut.

Tinggalan Sampah Sarap Mampu Memberikan Perspektif Yang Lebih Menakjubkan

Kiarszys pernah melihat bukti fotografi yang mengesahkan kehadiran keluarga-keluarga ini. Walau bagaimanapun, peninggalan bahan bertulis dan sampah sarap di kem tersebut telah mendedahkan penemuan menarik mengenai bagaimana mereka menjalani kehidupan di sana.

Tahukah anda bahawa sampah sarap boleh ‘memberitahu’ manusia mengenai kehidupan seseorang ataupun sesebuah komuniti. Perkara ini merupakan satu fenomena yang diberi nama sebagai Garbology.

Dalam kawasan markas yang terpencil ini, terdapat satu helai pakaian seragam yang terurai bersama-sama daun-daun, pembalut gula-gula, mainan itik getah, telefon mainan dan lain-lain. Teks-teks pada beberapa produk menunjukkan ia berasal daripada Soviet Union.

Kredit: BBC

Kiarszys berkata bahawa sampah sarap ini kelihatan sangat berbeza berbanding sampah lain di Poland dari era yang sama.  Terdapat barang-barangan seperti kasut berjenama dari Barat, permainan seakan-akan Lego, yang hanya dapat diakses oleh segelintir golongan tertentu.

Golongan tersebut ialah pegawai-pegawai Soviet yang memiliki akses terhadap mata wang asing yang membolehkan mereka untuk membeli barangan-barangan asing walaupun berada dalam pemerintahan komunis di Blok Timur.

Rakyat Poland Tidak Pernah Tahu Mengenai Fasiliti Senjata Nuklear Ini

Orang tempatan di barat Poland menyedari kewujudan fasiliti untuk operasi ketenteraan Soviet di negara mereka sewaktu Perang Dingin. Walau bagaimanapun, perkara tersebut berlaku selepas kejatuhan Soviet Union pada 1991.

“Kami telah diberitahu selama bertahun-tahun bahawa tiada senjata nuklear di wilayah Poland,” kata Kiarszys.

Namun begitu, kewujudan markas-markas tersembunyi tersebut tidak selari dengan kenyataan itu, malah mampu menghasilkan kuasa pemusnah yang cukup besar jika ia digunakan sewaktu perang di Eropah.

“Idea itu sendiri disifatkan sangat tidak masuk akal. Tetapi begitulah cara pemimpin-pemimpin Soviet mempercayai bahawa perang di Eropah boleh berlaku,” katanya.

Berikut merupakan hasil penemuan oleh Kiarszys

Kredit: Grzegorz Kiarszys via BBC

Gambar tersebut menunjukkan buah catur yang merupakan sebahagaian daripada set permainan catur yang biasa dimainkan oleh pegawai tentera sewaktu di markas ini.

Kredit: Mieczyslaw Zuk via BBC

Kiarszys turut menemui susunan peralatan kebersihan diri. Objek yang menjadi persoalan adalah berus gigi berwarna merah yang dipercayai mungkin ada kaitan dengan bintang merah.

Kredit: Grzegorz Kiarszys via BBC

Butang bintang yang terpasang pada pakaian pegawai tentera Soviet Union.

Kredit: Grzegorz Kiarszys via BBC

Gambar di atas menunjukkan bahagian dalaman bagi markas senjata nuklear. Markas bawah tanah ini mampu menghasilkan kuasa pemusnah yang lebih dahsyat daripada bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Untuk pengetahuan, tinggalan markas di Podborskokini dijadikan sebahagian daripada muzium tempatan dan dibuka kepada orang awam.

Kredit: Grzegorz Kiarszys via BBC

Beberapa barangan yang biasa digunakan oleh kanak-kanak untuk bermain seperti serpihan lori mainan, cat air dan sebuah botol yang berkemungkinan diisi dengan sabun, syampu dan sebagainya.

Kredit: Grzegorz Kiarszys via BBC

Botol-botol ini kelihatan seperti botol-botol biasa tetapi siapa yang tahu,  terdapat perkara yang menakjubkan mengenainya. Terdapat satu botol kaca yang memiliki label Pepsi dan ironinya, bagaimana sebuah negara yang berpegang kepada fahaman komunis di Blok Timur mampu memiliki barangan yang sinonim dengan Blok Barat.

Perkara ini memberikan infrens bahawa segelintir pegawai tentera Soviet memiliki keistimewaan untuk mengakses matawang asing serta mampu membeli barangan daripada Blok Barat – biarpun ironinya mereka adalah musuh hakiki Soviet sendiri.

Kredit: Grzegorz Kiarszys via BBC

Topeng gas merupakan satu item yang sinonim bagi tempat-tempat yang berkaitan dengan nuklear. Alat perlindungan diri seperti ini perlu digunakan sewaktu urusan-urusan yang berkaitan dengan bahan-bahan radioaktif untuk mengurangkan pendedahan secara langsung terhadap bahan tersebut buat jangka masa yang panjang.

Kredit: Grzegorz Kiarszys via BBC

Gambar di atas menunjukkan bahagian luar markas senjata nuklear jika dilihat daripada luar. Penggunaan bahan logam adalah untuk melindungi markas daripada serangan luar dan menghalang penyebaran kandungan radioaktif ke kawasan luar markas.

Kredit: Grzegorz Kiarszys via BBC

Selain itu, terdapat beberapa ukiran pada pokok -pokok di kawasan sekitar. Ukiran-ukiran tersebut merupakan huruf-huruf cyrillic yang biasa digunakan dalam bahasa Rusia.

Kredit: Grzegorz Kiarszys via BBC

Bahagian kubu pertahanan Soviet, dipercayai sebagai benteng perlindungan daripada serangan musuh.

Kredit: Grzegorz Kiarszys via BBC

Akhir sekali, gambar tersebut menunjukkan mainan plastik dengan pelbagai bentuk seperti figura, telefon dan pesawat. Penemuan ini menunjukkan terdapat satu komuniti kanak-kanak yang menetap dalam kem tersebut.

Kredit: Grzegorz Kiarszys via BBC

Turut ditemui adalah blok permainan Lego. Menurut Kiarszys, apa yang menjadi persoalan ialah tentang status kasta kanak-kanak Soviet. Difahamkan, Lego tidak pernah dipasarkan di Poland semasa Perang Dingin, lebih-lebih lagi adalah barangan berjenama. Bagaimana boleh sampai ke sini?

Sumber: BBC

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma