Siakap Keli

Kenapa Nilai Emas Sentiasa Tinggi & Dianggap Pelaburan Terbaik? Ini Jawapannya

Kenapa Nilai Emas Sentiasa Tinggi & Dianggap Pelaburan Terbaik? Ini Jawapannya

Apabila anda berminat untuk melibatkan diri dalam dunia pelaburan, anda akan mendapati bahawa ramai yang akan mencadangkan anda untuk melabur dalam emas. Tidak kira apa situasinya, sama ada keadaan ekonomi yang mendung, ketidakstabilan politik, perperangan atau pandemik, emas sentiasa menjadi pilihan orang ramai.

Kenapa? Emas sering dianggap sebagai pilihan pelaburan yang terbaik, salah satunya kerana emas itu sentiasa bernilai. Menariknya, emas sudah menjadi pilihan orang ramai di setiap peradaban manusia, sekurang-kurangnya sejak 5,000 tahun lagi.

Jadi umumnya, bolehlah dikatakan sejak sekian lama, tiada instrumen pelaburan lain yang berjaya menjatuhkan takhta emas sebagai pelaburan terunggul. Sepanjang sejarah, emas sentiasa mengekalkan kuasa belianya, dan sekali lagi, tiada medium lain yang mampu mengekalkan kuasa yang sama seperti emas.

Persoalannya, kenapa emas sentiasa bernilai dan kenapa emas adalah pelaburan yang paling selama? Jom kita rungkai sama-sama.

Emas adalah matawang global ‘sebenar’

Sejak berzaman, manusia sanggup atau sudi, malah berbesar hati, menerima emas sebagai pertukaran untuk sesuatu barang. Pergilah ke mana-mana sahaja, jika anda menghulurkan emas bagi menggantikan wang kertas biasa untuk membeli sesuatu, pasti si penjual akan menerimanya tanpa teragak-agak.

Selain itu, emas juga tahan lama dan mempunyai kecantikannya yang tersendiri. Jadi, ia sentiasa lebih unggul daripada medium-medium pembayaran lain dalam sejarah, termasuk wang kertas. Emas juga tidak rosak atau berkarat.

Fakta menarik tentang emas, nilainya tidak memerlukan sokongan atau jaminan daripada kerajaan atau bank pusat. Misalnya, mata wang Dollar bernilai kerana ia disokong dan dijamin oleh kerajaan Amerika Syarikat dan bank pusat negara itu.

Sedangkan emas, ia berdiri dengan meritnya sendiri. Pendek kata, nilai emas disokong dan dijamin oleh emas sendiri.

Ciri fizikal emas yang ideal

Emas mempunyai ciri-ciri yang ideal untuk dijadikan mata wang. Sebagai salah satu bahan dalam jadual berkala, emas adalah bahan yang non-reactive, mudah dikendalikan, tidak bertoksik dan juga secara semula jadi, sukar ditemui.

Jumlahnya cukup banyak untuk dihasilkan sebagai mata wang, namun tidaklah terlalu banyak sehingga mudah ditemui dimana-mana hingga sesiapa sahaja mampu menghasilkan matawang emasnya sendiri.

Satu lagi, emas mempunyai ciri unik iaitu tidak boleh diciplak atau dihasilkan oleh manusia, tidak seperti mata wang yang lain.

Kenapa emas mahal?

Ini mungkin persoalan yang paling penting. Emas berkongsi ciri-ciri yang sama dengan beberapa logam yang lain seperti tembaga, perak dan platinum, tetapi ia ada keunikan tersendiri.

Warna dan kilauan emas yang sentiasa memukau serta ketumpatan emas adalah sebahagian daripada keunikan tersebut yang meletakkan emas sebagai logam paling bernilai berbanding logam-logam lain berkurun lamanya.

Ciri-ciri ini selain sejarahnya adalah faktor  emas sentiasa mahal, ditambah dengan keunikan emas yang disebut sebagai Goldilock Nature.

Ia sukar didapati, tetapi tidaklah terlalu sukar hingga tidak dapat dijadikan matawang. Ia mempunyai banyak manfaat, tetapi tidaklah sampai boleh dieksplotasi sepenuhnya oleh kerajaan atau industri. Ia stabil dan secara virtualnya tidak boleh dimusnahkan, tetapi tidaklah terlalu stabil sehingga tidak boleh dilebur untuk dibuat pelbagai bentuk.

Emas adalah safe haven

Dalam pasaran kewangan pula, untuk pelaburan jangka panjang, emas sentiasa mengekalkan nilainya, walaupun medium pelaburan lain seperti stok menjunam. Disebabkan itu, emas dianggap sebagai safe haven. Juga sering menjadi pilihan untuk menyeimbangkan pelaburan-pelaburan lain yang dianggap berisiko.

Emas banyak disimpan oleh negara dan bank-bank pusat, tetapi nilainya diluar kawalan oleh entiti-entiti tersebut.

Sebagai pelaburan, emas hanya mempunyai sedikit risiko sahaja. Manakala jongkong emas, seperti bar dan duit syiling, juga sangat mudah dicairkan, serta mudah ditukar di mana-mana negara.

Ketika emas menjadi barang bernilai tinggi kerana status sosial yang diwakilinya sebagai barang kemas dan syiling, industri-industri baharu yang mengaplikasikan penggunaan emas terus meningkatkan nilainya ke kedudukan yang lebih tinggi.

Jadi, emas sebenarnya mempunyai nilai tinggi yang kekal. Jika kita berhenti menggunakan emas sebagai syiling, barang kemas atau perhiasan, emas tetap ada nilainya dalam masyarakat dan kerana itu, nilai emas sentiasa tinggi.

Sumber: Forbes, Bullionbypost

Faiz Mustafa