Siakap Keli

‘Farm In The City’ Menyambut 10 Tahun Mendidik Berjuta-juta Rakyat Malaysia tentang Pemuliharan Haiwan dan Habitat Semulajadi 

Taman Haiwan dan Alam Semulajadi di Tengah Kota Meraikan Pencapaian Sedekad Dengan Karnival Istimewa Penuh Keseronokan dari 8hb hingga 10hb Oktober 2022

Kuala Lumpur, MALAYSIA, 28hb September 2022 – Sejak penubuhannya, Farm in the City (“FITC”) dikunjungi ratusan ribu rakyat Malaysia dalam tempoh 10 tahun yang lalu dengan matlamat untuk menggalakkan orang awam berinteraksi dengan haiwan secara dekat dan berkongsi pengetahuan tentang kepentingan memelihara habitat semula jadi dan haiwan yang berada di dalam Taman tersebut.

Setelah sedekad beroperasi, FITC bukan hanya sebuah ladang awam dan zoo haiwan peliharaan, malahan telah menjadi tarikan pelancong utama di negeri Selangor di samping peranannya dalam penyelidikan dan pemuliharaan alam semula jadi dan hidupan liar.

Bercakap mengenai keupayaan Farm In The City untuk menjadi sebutan ramai dalam masyarakat sejak 10 tahun lalu, pengasas FITC Dato’ Allan Phoon, menyatakan:

“Sepanjang 10 tahun perjalanan, pasti ada cabaran dalam mengendalikan Farm In The City. Walau bagaimanapun, cabaran dan kesukaran ini mengajar kami untuk menjadi lebih baik – kami belajar dan menambah baik apa yang kurang; malah kami juga mengenal pasti peluang lain yang dapat meningkatkan dan mengembangkan arena perniagaan kami.”

Berpengalaman lebih daripada 20 tahun dalam bidang itu, beliau merupakan pengasas di sebalik pelbagai taman haiwan dan alam semula jadi di seluruh Malaysia termasuk Taman Hidupan Liar Sunway Lagoon dan Lost World of Tambun Petting Zoo.

Di bawah kepimpinannya, keluarga FITC terdiri daripada pasukan profesional yang mahir dalam projek alam semula jadi dan haiwan dengan jaminan hasil kerja  yang sangat memuaskan. Sebahagian daripada misi FITC adalah untuk menyampaikan dan mendidik orang ramai tentang habitat, tingkah laku dan taburan geografi haiwan dalam landskap global, ini juga secara berterusan telah mempromosikan pendidikan tentang hidupan liar dan alam sekitar melalui program yang direka teliti untuk pelajar tempatan dan luar negara dari semua peringkat umur mengenai tema pemuliharaan dan pemeliharaan.

Berkonsepkan bebas daripada sangkar, Taman ini membenarkan kebanyakan haiwan berkeliaran bebas di dalam kandang khas dengan suasana seolah-olah sama dengan persekitaran habitat semula jadi mereka.

Sempena ulang tahun yang ke-10, Farm In The City akan menganjurkan karnival selama tiga hari yang penuh keseronokan dari 8hb hingga 10hb Oktober 2022. Terbuka kepada orang ramai, pengunjung dijemput untuk datang beramai-ramai mengenali hidupan liar yang membarisi pelbagai spesis haiwan yang menakjubkan, termasuklah tambahan terbaru  keluarga FITC iaitu; Bubu, kerbau kerdil dan semua rakannya yang lain.

Penuhi hari anda dengan aktiviti menyeronokkan yang tersedia seperti pertunjukan silap mata yang mengagumkan, penampilan badut  dan maskot istimewa, dan banyak lagi. Jangan lupa juga untuk mencuba nasib anda di ‘booth’ permainan dan trak makanan.

Selain itu, FITC juga akan mengadakan promosi diskaun istimewa pembelian tiket untuk pengunjungnya di mana orang dewasa boleh menikmati diskaun RM10 daripada harga tiket mereka manakala bagi tiket kanak-kanak,  hanya RM10 untuk masa terhad sahaja.

Mari beramai-ramai menyaksikan karnival khas ini kerana ia pasti akan menjadi acara yang anda tidak mahu ketinggalan!

Amira

Love yourself.