Siakap Keli
pergi bercuti waktu sekolah

“Siap Pergi Bercuti Waktu Sekolah,” Ibu Bapa Silap Kalau Biar Anak Ponteng Sekolah Sebab Tiada Peperiksaan

Zaman serba moden sekarang ni, banyak sangat perkara yang boleh dilihat mengalami perubahan. Salah satu contoh adalah bagaimana cara ibu bapa sekarang melayan anak-anak mereka. Sangat jauh juga beza sebenarnya.

Bila dilihat pada senario persekolahan sekarang, ada ibu bapa yang tak kisah apabila anaknya mengadu malas untuk bersekolah pada keesokan harinya. Situasi sebegini selalunya dilihat pada anak-anak yang bersekolah di Darjah 5 dan juga Tingkatan 3. Hal ini kerana, mereka sudah tidak mempunyai apa-apa peperiksaan besar yang mereka perlu hadapi sendiri.

Untuk mereka yang tak tahu, telah adanya pelaksanaan PBS untuk menilai setiap pelajar di sekolah. Jadinya, pelajar-pelajar ini tidak lagi terikat untuk mencapai keputusan peperiksaan yang cemerlang. Ini juga menjadi alasan bagi sesetengah ibu bapa untuk tidak memaksa anak-anak mereka untuk ke sekolah. Lebih mengejutkan, ada yang pergi bercuti pada waktu sekolah.

Perkara sebegini yang dilakukan oleh ibu bapa nyatanya bercanggah dengan peranan yang sebetulnya dilakukan oleh ibu ketika anak-anak mereka menjalani Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS). Dengan sistem penilaian yang baru ini, pelajar-pelajar akan dinilai secara menyeluruh. Dengan lebih tepat sekali, dari pelbagai aspek.

Apabila disebut pelbagai aspek, ia bermaksud bukan sahaja dalam aspek akademik, tetapi juga meliputi sikap pelajar sendiri di sekolah. Sebagai contoh, keupayaan pelajar menyiapkan tugasan yang diberi dengan baik.

Jika dibiarkan sahaja, pelajar-pelajar ini kemungkinan besar akan tercicir markah yang tinggi. Itulah pentingnya untuk ibu bapa untuk tidak bersikap sambil lewa mengenai sistem PBS ini. Semua demi masa depan anak-anak.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

Mungkin ramai ibu bapa atau pelajar sendiri yang masih tidak memahami konsep PBS ni. Untuk mereka yang tak tahu, PBS disifatkan sebagai pendekatan yang terbaik untuk membantu perkembangan pelajar secara holistik. Ini termasuk jasmani, rohani dan juga intelek semua pelajar. Pendekatan seperti ini sangat berbeza dengan pentaksiran sedia ada yang hanya tertumpu kepada pencapaian akademik melalui peperiksaan.

Sebenarnya, banyak negara lain yang dah lama guna konsep seperti ni. Ini kerana ia lebih merangkumi pelbagai aspek. Dengan cara ini juga, cikgu di sekolah boleh mengesan potensi pelajar bukan sekadar berdasarkan akademik. Cikgu dengan lebih mudah boleh mengenalpasti kelemahan dan kemudian dapat membantu pelajar tersebut untuk mengatasi kelemahan. Lebih penting, tiada lagi perbandingan standard result exam antara pelajar.

Oleh itu, dapat ditekankan di sini bahawa mengetahui PBS juga sangat penting dalam persekolahan anak-anak. Tiada peperiksaan tidak bermakna pelajar tidak perlu ke sekolah. Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak untuk menghadirkan diri ke sekolah dan menunjukkan nilai-nilai yang baik.

Jangan diulangi lagi kesilapan membiarkan anak-anak ponteng sekolah kerana tindakan itu sebenarnya sangat merugikan mereka juga. Konsep PBS ini dapat memberi impak yang positif kepada pelajar dan meringankan tekanan mereka kerana tidak lagi berhadapan dengan peperiksaan besar.

Nor Fakhry