Siakap Keli
Sumber : Insider

Penumpang Pesawat America Airlines Bingung, Rakam Suara Aneh Ketika Penerbangan

Penumpang Pesawat America Airlines Bingung, Rakam Suara Aneh Ketika Penerbangan

Sebuah video memaparkan bunyi aneh yang dihasilkan daripada sistem pengumuman awam pesawat semasa penerbangan American Airlines dari Los Angeles ke Dallas awal bulan ini menjadi tular.

Dilaporkan, penumpang yang menaiki pesawat tersebut bingung apabila mendengar bunyi aneh yang dihasilkan daripada sistem pengumuman pesawat itu.

Salah seorang penumpang pesawat itu, Emerson Collins telah memuat naik video tersebut di akaun TikTok miliknya.

Dalam video itu, dapat didengari bunyi seperti mengerang dan rintihan yang pelik dihasilkan sejurus sebelum berlepas. Bunyi tersebut telah mewujudkan kebimbangan dalam kalangan penumpang dan pramugari.

Bunyi tersebut dilaporkan kedengaran sepanjang penerbangan itu.

“Salah seorang penumpang penerbangan ini nampaknya telah menceroboh sistem interkom dan terus mengeluarkan bunyi aneh,” menurut Collins dalam video yang dikongsi di TikTok.

Semasa Collins sedang merakam insiden berkenaan, seorang pramugari memaklumkan kepada penumpang bahawa mereka cuba untuk mematikannya.

“Tuan-tuan dan puan-puan, kami menyedari terdapat bunyi yang sangat menjengkelkan yang dihasilkan” kata seorang pramugari dalam video itu.

“Kami cuba menyelesaikan masalah dan cuba mematikannya, jadi harap bersabar. Kami tahu perkara ini sangat aneh dan tiada seorang pun daripada kami yang menyukainya.”

Kemudian, seorang pramugari kedengaran menyatakan bahawa bunyi tersebut merupakan ‘prank’.

“Saya yakin ini adalah prank,” kata pramugari semasa berjalan di lorong kapal terbang.

Jelas jurucakap American Airlines, bunyi tersebut merupakan isu teknikal sistem pada pesawat.

“Menurut laporan awal, pasukan penyelenggaraan kami yang memeriksa pesawat dan sistem PA mendapati bahawa bunyi itu adalah disebabkan masalah mekanikal yang membabitkan sistem PA.

“Masalah tersebut menyebabkan kelantangan sistem PA meningkat apabila enjin dihidupkan,” kata jurucakap kepada Insider.

Pada bulan Julai, seorang penumpang dalam penerbangan dari New York City ke Los Angeles juga telah melaporkan bunyi yang sama.

Jurucakap American Airlines memberitahu Insider bahawa syarikat sedang menyemak tuntutan tambahan, dan juga menyatakan bahawa tiada komponen WiFi pada sistem PA, yang akan menyukarkan penggodaman luaran.

“Pasukan kami sedang menyemak laporan tambahan,” kata jurucakap itu.

Sumber : Insider

Anis Annisa