Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MTHQA Ke-66: Alunan Suara Merdu Nur Syakura Pukau Hadirin Pada Malam Ketiga

MTHQA
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Alunan suara yang merdu dan penuh penghayatan qariah negara Nur Syakura Mohamad Musa memukau hadirin pada malam ketiga Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini malam ini.

Tampil tenang dan berkeyakinan, Nur Syakura yang bertugas sebagai Penyelia Guru Al-Quran di Majlis Islam Sarawak (MIS) memperdengarkan bacaan beberapa ayat daripada surah Hud dengan kawalan taranum yang merdu dan kemas serta bacaan bertajwid.

Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026 itu bersaing hebat bersama beberapa peserta antarabangsa termasuk wakil Brunei Dk Siti Ummi Syazana Pengiran Marjuki yang turut mencuri tumpuan menerusi kelunakan bacaannya.

Turut memperdengarkan bacaan pada sesi malam ialah enam qari, iaitu Muhammad Fauji Ridwan dari Indonesia, Furkan Cinar (Turkiye), Mstafa Abdlsada Hashim (Iraq), Seyed Sadegh Seyed Ali Moslemi Alamshiri (Iran), Mohammad Mahmoud Khalil Dabash (Jordan) dan Inam Ul Haq (Pakistan).

Terdahulu pada sesi pagi, sebanyak lapan peserta kategori Hafazan selesai memperdengarkan hafazan masing-masing termasuk dua wakil negara, iaitu Muhammad Izzul Afnan Sazali dan Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam.

MTHQA ke-66 yang bertemakan “Madani Dihayati Ummah Diberkati” berlangsung dari 6 hingga 10 Okt, menghimpunkan 50 peserta dari 38 negara merangkumi 25 peserta tilawah dan 25 peserta hafazan al-Quran.

-- BERNAMA

Intipati
  • Nur Syakura memukau hadirin menerusi bacaan surah Hud pada malam ketiga MTHQA ke-66.
  • Beliau memperdengarkan bacaan bertajwid dengan kawalan taranum merdu, kemas dan penuh penghayatan.
  • MTHQA ke-66 menghimpunkan 50 peserta tilawah dan hafazan al-Quran dari 38 negara.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan