Tular Video Buang Sampah Dalam Sungai, Pemandu Lori Berjaya Ditahan
Polis dilaporkan berjaya menahan seorang pemandu lori bagi membantu siasatan berhubung satu video tular memaparkan tindakannya membuang sampah ke dalam sungai di Pontian baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek telah ditahan di sekitar bandar Pontian selepas pencarian dilakukan selama lebih kurang lima jam pada 7 petang Khamis, 29 September 2022.
Jelasnya, pihak berkuasa pada mulanya telah melakukan pencarian di kediaman suspek, namun tidak ditemukan.
Polis kemudiannya bertindak menghubungi suspek sebelum berjaya mengesannya untuk melakukan penahanan.
“Apabila ditemui dan ditahan, suspek terus dibawa ke Balai Polis untuk pemeriksaan serta siasatan. Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun semakan mendapati dia mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya, lapor Kosmo.
Memetik Kosmo, video yang berdurasi 36 saat itu telah tular di laman sosial yang memaparkan seorang pemandu lori bertindak memberhentikan kenderaan sebelum dilihat selamba membuang sampah ke dalam Sungai Wak rabun, Batu 33, Pontian semalam.
Tindakan tidak bermoral lelaki tersebut telah berjaya dirakam oleh orang awam dan kemudian dimuat naik di laman aplikasi Facebook sehingga turut berjaya menarik perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ekoran dari itu, Onn Hafiz kemudiannya segera menghubungi Kamarul Zaman untuk meminta pihak polis segera mengambil tindakan ke atas individu tersebut.
“Saya kemudian mengarahkan Ketua Polis Daerah Pontian untuk mengambil tindakan bagi mengesan suspek. Suspek kemudian dibebas dengan jaminan polis selepas dirakam percakapannya diambil.
“Tindakan kompaun terhadap suspek dibuat mengikut Rule 52 LN 166/59 selain memandu tanpa lesen GDL. Perbuatan membuang sampah dari kenderaan adalah satu kesalahan dan boleh dihukum saman atau dikompaun sehingga RM2,000,” ujarnya.
BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China
Sumber: Kosmo