Siakap Keli
Kredit AFP

Dunia Diambang Kemelesetan Global, Dubai Siap Sedia Mesin Layan Diri Bekal Roti Percuma Untuk Orang Susah

Dunia Diambang Kemelesatan Global, Dubai Siap Sedia Mesin Layan Diri Bekal Roti Percuma Untuk Orang Susah

Dubai, sebuah emiriah Arab yang kaya dengan jutawan di UAE dilapor menyediakan mesin layan diri bagi membekalkan roti secara percuma kepada rakyatnya serta imigran yang kurang berkemampuan dan tertekan dengan kenaikan kos sara hidup.

UAE yang kaya dengan minyak mempunyai populasi hampir 10 juta orang, 90 peratus daripadanya merupakan warga asing, rata-rata dari Asia dan Afrika.

Negara tersebut yang mengimport hampir keseluruhan bekalan makanannya, terjejas teruk dengan peningkatan harga import makanan. Ia menjadi trend global ketika ini, salah satunya dipacu oleh tindakan Rusia meneceroboh Ukraine.

Sepuluh mesin layan diri telah dipasang pada minggu lalu di pasar raya dengan skrin sentuh komputer yang membolehkan orang ramai memilih jenis roti yang berbeza seperti roti sandwic, roti pitta atau chapati ala India.

Mesin ini juga mempunyai pembaca kad kredit yang disediakan khas untuk mereka yang ingin menderma.

Menurut Pusat Statistik Dubai, indeks harga makanan, iaitu harga sebakul komoditi makanan yang diukur setiap bulan, menunjukkan peningkatan 8.75 peratus pada Julai, bagi tempoh tahun ke tahun. Kos pengangkutan negara itu juga telah melonjak lebih daripada 38 peratus.

Mesin roti itu adalah inisiatif daripada yayasan yang ditubuhkan oleh pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum.

“Ideanya adalah untuk memberi kepada keluarga dan pekerja yang tidak bernasib baik sebelum mereka datang kepada kami,” kata pengarah yayasan itu, Zeinab Jouma al-Tamimi.

Sesiapa yang memerlukan boleh mendapatkan roti panas percuma itu hanya dengan menekan butang pada skrin komputer.

Pada Julai, kerajaan Dubai turut mengumumkan bantuan sosial, tetapi terhad kepada sebahagian penduduk yang berpendapatan di bawah RM 31,000 sebulan, yang dianggap kurang bernasib baik. Program bantuan ini bagaimanapun tidak disediakan kepada warga asing.

“Oleh kerana inflasi dan kadar faedah yang meningkat, terdapat ramai orang yang gajinya rendah tidak dapat memenuhi semua keperluan mereka,” kata Fadi Alrasheed, ahli perniagaan Jordan yang telah menetap di Dubai selama 20 tahun.

Menurut laporan Migrasi Dunia PBB, UAE adalah rumah kepada hampir 8.7 juta pendatang terutamanya dari India, Bangladesh dan Pakistan.

Henley and Partners, sebuah perunding migrasi pelaburan yang berpangkala di London, menganggarkan terdapat lebih 68,000 jutawan dan 13 bilionair di Dubai, meletakkan bandar itu ke-23 terkaya di dunia.

Sumber: AFP

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka