Siakap Keli
Kredit AFP

Letupan Nord Stream Didapati Bersamaan Dengan Kesan Letupan Ratusan Kilogram TNT

Letupan Nord Stream bersamaan dengan ratusan kilogram TNT

Empat kebocoran yang menjejaskan saluran paip gas Nord Stream di lautan Baltik berpunca daripada letupan dalam air yang bersamaan dengan ratusan kilogram bahan letupan TNT, kata laporan Denmark-Sweden pada Jumaat.

“Magnitud letupan masing-masing diukur pada 2.3 dan 2.1 Skala Ritcher, dan sepadan dengan muatan bahan letupan seberat ratusan kilogram,” kata kedua-dua negara dalam laporan bersama Majlis Keselamatan PBB.

Susulan permintaan daripada Rusia, Majlis Keselamatan dijangka mengadakan mesyuarat tergempar mengenai kebocoran itu pada hari Jumaat.

“Semua maklumat yang ada menunjukkan bahawa letupan itu adalah hasil daripada tindakan yang disengajakan,” kata Rusia.

Punca letupan masih menjadi misteri, bagaimanapun kedua-dua negara Washington dan Moscow menafikan bertanggungjawab.

Negara-negara Scandinava juga berkata bahawa kemungkinan kesan terhadap hidupan maritim di Laut Baltik adalah membimbangkan dan kesan daripada iklim mungkin akan menjadi sangat dahsyat.

Semua kebocoran yang ditemui pada hari Isnin lalu, berada di Laut Baltik di luar Pulau Bornholm di Denmark. Dua daripada kebocoran itu terletak di zon ekonomi eksklusif Sweden, dan dua lagi di zon ekonomi Denmark.

Saluran paip Nord Stream 1 dan 2, yang menghubungkan Rusia ke Jerman telah menjadi pusat ketegangan geopolitik apabila Rusia didakwa memotong bekalan gas ke Eropah sebagai tindak balas yang disyaki terhadap sekatan Barat berikutan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.

Walaupun saluran paip tidak beroperasi pada masa ini, kedua-duanya masih mengandungi gas.

Pada Khamis, pengendali saluran paip berkata pihaknya tidak dapat menilai kerosakan paip tetapi ia akan berbuat demikian sebaik sahaja menerima permit rasmi yang diperlukan.

Ia berkata akses boleh dibenarkan hanya selepas tekanan dalam saluran paip gas telah stabil dan apabila kebocoran gas itu telah berhenti.

Pihak berkuasa Denmark berkata kebocoran akan berterusan sehingga gas dalam saluran paip itu habis, dan dijangka akan berterusan sehingga Ahad ini.

Sumber: AFP

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka