Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Buaya Lebih 400 Kilogram Ditangkap Di Sungai Rajang, Seekor Lagi Masih Diburu

BUAYA
Kredit: Facebook Jeferry Siew

SIBU, 7 Okt (Bernama) -- Seekor buaya sepanjang 4.15 meter dengan berat lebih 400 kilogram berjaya ditangkap di Sungai Rajang berhampiran kawasan Stabau-Salim di sini pagi tadi, namun operasi memburu reptilia itu masih diteruskan susulan terdapat seekor lagi dipercayai bersaiz lebih besar di kawasan berkenaan.

Pemburu buaya berlesen Jeffery Siew berkata reptilia itu ditangkap kira-kira 10 pagi oleh pasukannya yang dianggotai empat orang selepas usaha menjejakinya dilakukan sejak September lepas.

“Kami sudah memburu buaya ini sejak September dan akhirnya berjaya menangkapnya pagi tadi menggunakan mata kail berumpan. Bagaimanapun, operasi belum berakhir kerana kami masih menjejaki seekor lagi buaya yang dipercayai lebih besar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata tangkapan terbaharu itu dilakukan kurang 24 jam selepas pasukannya pulang daripada operasi selama beberapa hari di Sungai Batang Igan berhampiran Ulu Kampung Kebuaw, Igan.

“Kami memang keletihan selepas pulang dari Igan semalam, tetapi nasib baik operasi hari ini hanya di Sibu,” katanya.

Siew berkata pasukannya sebelum ini turut menangkap seekor buaya sepanjang 4.76 meter di kawasan Stabau-Salim pada 14 Sept lepas.

Sementara itu, tiga buaya berukuran antara 2.44 hingga 4.75 meter berjaya ditangkap pasukannya di Sungai Batang Igan dalam operasi bermula Sabtu lepas, termasuk seekor sepanjang 4.75 meter yang dianggarkan seberat 500 kilogram semalam.

Pasukan berkenaan turut menemukan sarang mengandungi kira-kira 40 biji telur buaya ketika menjalankan operasi di Igan.

Setakat ini, Siew yang memperoleh lesen memburu reptilia itu dua tahun lepas telah berjaya menangkap lebih 100 ekor buaya.

-- BERNAMA

Intipati
  • Buaya sepanjang 4.15 meter ditangkap di Sungai Rajang berhampiran kawasan Stabau-Salim pagi tadi.
  • Operasi masih diteruskan bagi menjejaki seekor lagi buaya yang dipercayai bersaiz lebih besar.
  • Pasukan Jeffery Siew turut menemukan sarang mengandungi kira-kira 40 biji telur buaya di Igan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan