Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ahli Politik India Anjur Majlis Kahwin Anak Secara Besar-Besaran, Jemput Hampir 400,000 Tetamu

Ahli Politik India Jemput 400,000
Kredit: NDTV

Namun, seorang ahli politik di Bihar, negeri termiskin di India, Anant Singh mencuri perhatian apabila menganjurkan majlis perkahwinan anak perempuannya, Shivangi Singh bersama seorang penuntut MBA dari Georgia State University di Atlanta, Rishikesh Kumar, pada Rabu.

Majlis yang berlangsung di kediaman keluarga Singh di sebuah kampung bernama Nadawa itu menyaksikan kira-kira 400,000 tetamu diraikan di kawasan seluas 2.5 hektar, satu jumlah luar biasa meskipun India sememangnya terkenal dengan majlis perkahwinan mewah.

Menurut orang kepercayaan Singh, Munna Singh kepada Agence France-Presse (AFP), tetamu dihidangkan dengan 500,000 biji manisan tradisional serta pelbagai juadah yang disediakan oleh kira-kira 500 tukang masak dan pembantu dapur.

Ahli Politik India Jemput 400,000 Untuk Majlis Kahwin Anak Perempuan

Difahamkan, sebanyak satu tan daging kambing digunakan untuk menyediakan hidangan kebab dan kari, manakala enam kawasan pendaratan helikopter sementara turut dibina bagi menyambut tetamu kenamaan dari seluruh India.

Kumar tiba di lokasi dengan memakai cermin mata hitam sambil mengibarkan selendang berwarna jingga, diiringi konvoi 151 buah kereta, memandangkan masyarakat Hindu percaya angka ganjil membawa tuah.

Antara hadiah yang diberikan kepada pengantin lelaki itu ialah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Land Rover Defender.

Keadaan jalan menuju ke lokasi majlis juga sesak teruk dengan kenderaan sehingga seorang tetamu dilaporkan terpaksa menaiki traktor dan meredah kawasan ladang berhampiran untuk mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan, lapor The Times of India.

Selain hidangan mewah, tetamu turut disajikan dengan hiasan bunga yang menggunakan bunga import dari China serta pertunjukan bunga api.

Bagi memeriahkan majlis, Singh pada awalnya merancang mengadakan perlumbaan kuda sebagai hiburan menggantikan persembahan DJ, namun acara itu terpaksa dibatalkan pada saat akhir akibat keadaan terlalu sesak dan tidak terkawal.

Malah, ada individu yang datang tanpa jemputan dilaporkan memanjat pokok serta menara elektrik semata-mata untuk menyaksikan perlumbaan berkenaan, manakala sebuah SUV yang sepatutnya menjadi hadiah kepada pemenang dilaporkan masih berada di kawasan majlis.

Bagaimanapun, Singh bukanlah figura yang asing dengan kontroversi apabila ahli politik yang lima kali dipilih sebagai wakil rakyat negeri itu berdepan 28 kes jenayah yang masih dalam proses mahkamah, termasuk kes pembunuhan, cubaan membunuh, pemerasan dan penculikan.

Kesemua kes berkenaan disenaraikan di laman web Association for Democratic Reforms, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berusaha meningkatkan tadbir urus serta memperkukuh demokrasi di India, namun Singh menafikan sebarang salah laku.

Dalam satu temu bual televisyen sebelum majlis berlangsung, Singh menolak tanggapan bahawa persiapan perkahwinan anaknya itu sesuatu yang luar biasa kerana dia pernah menganjurkan majlis dengan skala sama untuk anak perempuan sulungnya.

“Saya mengadakan majlis yang sama untuk anak perempuan sulung saya,” katanya.

Musim perkahwinan di India juga baru sahaja bermula dengan kira-kira 5.2 juta pasangan dijangka melangsungkan perkahwinan di seluruh negara sehingga 15 Disember ini.

Intipati
  • Anant Singh menganjurkan majlis perkahwinan anaknya di Bihar dengan kira-kira 400,000 tetamu.
  • Tetamu dihidangkan 500,000 manisan, pelbagai juadah dan sajian disediakan kira-kira 500 petugas dapur.
  • Kesesakan teruk berlaku, manakala rancangan perlumbaan kuda dibatalkan kerana keadaan terlalu sesak.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan