Syarikat teknologi terkenal dari Australia, Canva mengumumkan rombakan besar-besaran perniagaan yang menyaksikan seramai 1,271 pekerja atau kira-kira 22 peratus daripada tenaga kerjanya terjejas, termasuk melalui pengurangan jawatan, lapor BBC.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Melanie Perkins menyifatkan keputusan itu sebagai detik paling sukar sepanjang 13 tahun penubuhan syarikat berkenaan.
Menurut Perkins, perubahan tersebut melibatkan beberapa perkara termasuk pemberhentian kerja, pertukaran peranan serta arahan untuk berpindah ke lokasi kerja tertentu.
Menerusi satu kenyataan kepada kakitangan pada Rabu, beliau mengakui syarikat itu sedang melalui tahun paling mencabar apabila pertumbuhan perniagaan mereka mula perlahan buat kali pertama dalam tempoh sedekad.
Canva Umum Rombakan Besar-Besaran, Nilai Syarikat Itu Turut Terjejas Susulan Kebimbangan Terhadap AI
Rombakan tersebut berlaku ketika Canva berdepan tekanan terhadap nilai syarikat susulan kebimbangan mengenai perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta kos untuk mengintegrasikannya ke dalam platform mereka.
Menurut laporan, dua pelabur Canva iaitu Blackbird Ventures dan Airtree telah menurunkan penilaian syarikat itu daripada A$60 bilion (RM41.8 bilion) pada akhir tahun lalu kepada kira-kira A$49 bilion.
Canva turut dilaporkan mengurangkan penilaian dalamannya sendiri berikutan peningkatan perbelanjaan berkaitan pembangunan dan pelancaran produk berasaskan AI.
Perkins berkata perkembangan teknologi baharu kini mengubah cara orang ramai menghasilkan kandungan serta meningkatkan jangkaan pengguna terhadap produk digital.
Keadaan itu sekali gus memerlukan syarikat berkenaan menyesuaikan strategi perniagaan bagi menghadapi perubahan industri teknologi yang semakin pesat.
Sydney Bakal Jadi Hab Utama Operasi Canva
Dalam perkembangan sama, Canva turut mengumumkan perubahan terhadap susunan operasi dan lokasi kerjanya.
Syarikat yang mempunyai kakitangan di 37 negara itu akan menjadikan Sydney sebagai hab utama bagi lebih banyak pasukan produknya.
Menjelang tahun depan, pekerja yang menjalani sistem kerja hibrid juga dijangka perlu hadir ke pejabat antara dua hingga tiga hari seminggu.
Untuk rekod, Canva diasaskan pada 2013 oleh Melanie Perkins selepas beliau meninggalkan pengajian universiti ketika berusia 19 tahun bagi memberi tumpuan kepada bidang keusahawanan.
Platform tersebut terkenal dengan pelbagai templat dan alatan reka bentuk yang memudahkan pengguna menghasilkan grafik, poster, pembentangan serta bahan promosi tanpa memerlukan kemahiran teknikal atau pengalaman profesional dalam bidang reka bentuk.
Antara hasil reka bentuk yang boleh dihasilkan menerusi platform itu termasuk jemputan perkahwinan, poster perniagaan dan slaid pembentangan.
Kini, perubahan dalam industri teknologi termasuk kemunculan AI dilihat menjadi antara cabaran besar yang perlu dihadapi Canva untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran.

