Siakap Keli
Gambar hiasan | Kredit: Astro Awani

Permohonan Najib Untuk Hadir Sidang Parlimen Ditolak

Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dilapor menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat yang diadakan di Parlimen, lapor Awani.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara tersebut pada Isnin, selepas prosiding perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini pada 19 September lalu, permohonan berkenaan telah dibuat kepada Ketua Pengarah Jabatan Penjara.

“Mereka telah memberikan maklum balas terhadap permohonan itu dan keputusannya adalah tidak dibenarkan atas alasan keselamatan.

“Saya rasa hairan kerana persekitan Parlimen lagi selamat berbanding dengan perkarangan mahkamah kerana di situ (merujuk kepada Parlimen), Najib hanya terdedah kepada orang awam.

Gambar hiasan | Kredit: Astro Awani

“Disebabkan permohonan tersebut tidak diterima, kami buat rayuan terhadap Menteri Dalam Negeri termasuklah menulis surat untuk Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun,” katanya.

Selain itu,  Muhammad Shafee juga menegaskan bahawa Najib sepatutnya diberikan hak untuk menghadiri sidang Parlimen disebabkan dirinya masih lagi Ahli Parlimen Pekan yang sah.

“Ini termasuklah hak beliau (merujuk Najib) untuk menghadiri pembentangan Bajet 2023 yang akan berlangsung pada Jumaat akan datang,” kata peguam itu lagi.

Dalam masa sama, Muhammad Shafee turut memberikan pendapat bahawa hak untuk bertemu dengan rakyat di kawasan (Pekan) perlu diberikan kepada Najib.

Sebelum ini, berdasarkan kenyataan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azizan Azhar Harun, Najib boleh menghadiri sidang Parlimen meskipun beliau sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

Walau bagaimanapun, perkara tersebut tertakluk pada budi bicara Jabatan Penjara Malaysia, sama ada untuk memberikan kebenaran ataupun tidak.

Perkara itu berikutan pihak Dewan Rakyat tidak mempunyai sebarang kuasa terhadap Najib yang kini menjalani hukuman penjara dan ia di luar bidang kekuasaan mereka.

Sumber: Astro Awani

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma