Siakap Keli
nelayan hilang 14 jam ditemukan selamat
Gambar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia via Bernama

Nelayan Hilang 14 Jam Ditemukan Selamat Berpaut Pada Tong Plastik

MERSING, 3 Okt (Bernama) — Seorang kru bot nelayan tempatan selamat ditemukan dalam keadaan sedang berpaut pada tong minyak plastik berwarna biru, kira-kira 14 jam selepas dilaporkan hilang.

Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata warga Indonesia yang dikenali sebagai Catur, 40, itu ditemukan oleh bot Perikanan PL 87, yang turut serta dalam Op Carilamat pada kedudukan sekitar 10 batu nautika selatan Pulau Sibu di sini, kira-kira 10.30 pagi tadi.

Beliau berkata Catur yang kali terakhir dilihat di atas bot nelayan itu dan hanya berseluar hijau, dipercayai terjatuh dan hanyut sejauh 9.3 batu nautika dari lokasi, dia dilaporkan hilang kira-kira 8 malam tadi.

“Mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi untuk rawatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Maritim Mersing telah menerima aduan yang dibuat oleh pemilik bot nelayan berkenaan, Kuek Ho Hwa, 66, berhubung kejadian itu sebelum Op Carilamat diaktifkan kira-kira pukul 11.50 malam tadi.

Khairul Nizam berkata Op Carilamat mangsa melibatkan sebuah aset bot Kilat 14 dari Zon Maritim Mersing, bot RH 32 dari Pasukan Polis Marin, bot PTL 21 selain PL 87 milik Jabatan Perikanan membabitkan 30 anggota dengan keluasan sektor pencarian adalah 86 batu nautika persegi meliputi kawasan tenggara perairan Pulau Sibu.

“Orang ramai diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan mengenai kejadian dan kecemasan di laut menerusi talian kecemasan MERS 999 pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199401,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Hanis Zariman