Siakap Keli
Penyakit Batu Karang
Sumber asal Eastfield College

Patutlah Lain Macam Sakit, Rupanya Ini Bentuk Tajam Batu Karang Bawah Mikroskop Elektron

Penyakit batu karang seringkali kita dengar dihidapi oleh rakyat Malaysia tanpa mengira usia dan jantina. Di Amerika Syarikat (AS), 1 daripada 1000 orang dewasa akan dimasukkan ke hospital disebabkan oleh batu karang.

Menurut Hello Doktor, batu karang pada kebiasaannya berlaku pada kadar kekerapan sebanyak 10% hingga 20%. Selain ujian air kencing, penyakit batu karang ini juga boleh dikesan menerusi ujian pengimbasan (X-ray).

Terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan terjadinya batu karang yang terbentuk pada buah pinggang iaitu diet pemakananan, berat badan berlebihan, masalah kesihatan tertentu dan pengambilan beberapa jenis ubat-ubatan atau makanan tambahan (supplement). 

Difahamkan, penghidap penyakit batu karang akan mengalami sakit yang teramat sangat hingga mungkin ada yang tidak mampu untuk berdiri dan bergerak. Pesakit batu karang juga tidak boleh makan makanan sebarangan untuk mengelakkan ia menjadi lebih teruk.

Apa yang membuatkan pesakit batu karang ini menderita kesakitan yang melampau dan bagaimana bentuk batu karang ini sebenarnya?

Meneroka portal Vox, portal berita berkenaan berkongsi beberapa kepingan gambar dipercayai bentuk batu karang yang dilihat secara dekat menggunakan electron microscope yang diambil daripada kajian sekumpulan penyelidik Eastfield College

Menerusi gambar-gambar tersebut, dapat dilihat bentuk batu karang tersebut yang tajam dan sangat menakutkan. Ia juga dilihat seakan-akan kristal yang terbentuk dalam sebuah gua.

Untuk memahami secara lebih lanjut, jom tengok foto-foto yang kami kongsikan dibawah.

Mengupas dengan lebih lanjut berkaitan dengan penyakit ini, kami kongsikan juga perkongsian dari portal Hello Doktor dari tanda, punca, jenis hingga cara merawatnya. Ikuti perkongsian di bawah dan semoga ia akan memberi manfaat kepada semua.

BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China

Diserang Sakit Batu Karang, Ini Tanda, Punca Dan Rawatan Yang Anda Patut Tahu

Penyakit batu karang merupakan sesuatu yang lazim dalam kalangan rakyat Malaysia. Bayangkan, setiap tahun, 1 daripada 1000 orang dewasa di Amerika Syarikat akan dimasukkan ke hospital disebabkan masalah batu karang.

Di benua Asia pula, batu karang selalunya berlaku dengan kekerapan sebanyak 10% hingga 20%. Untuk mendiagnosis penyakit batu karang, pesakit mungkin perlu melakukan ujian air kencing dan juga ujian pengimbasan.

Batu karang merupakan penyakit yang lazim berlaku di kalangan orang dewasa yang berada pada pertengahan umur.

Apa itu batu karang?

Batu karang merupakan deposit keras yang terbentuk akibat pengumpulan mineral dan garam di dalam kawasan buah pinggang.

Ada banyak punca yang menyebabkan pembentukan batu karang. Antaranya ialah diet, berat badan berlebihan, masalah kesihatan tertentu dan pengambilan beberapa jenis ubat-ubatan.

Secara purata, 1 daripada 10 orang akan mengalami masalah batu karang. Selain itu, batu karang boleh terbentuk di sebelah buah pinggang atau kedua-duanya.

Individu yang mengalami masalah batu karang selalunya akan diserang rasa sakit yang amat sangat.

Jika tidak dirawat dalam jangka masa panjang, penyakit ini boleh menyebabkan jangkitan dan merosakkan buah pinggang.

Penyakit batu karang juga boleh berlaku kepada kanak-kanak pada usia seawal 5 tahun. Antara punca keadaan ini ialah tabiat pemakanan yang tidak sihat.

Contohnya, ibu bapa zaman ini selalu memberikan anak mereka mengambil makanan yang bergaram seperti kentang goreng dan snek kerepek kentang.

Namun, bukan makanan bergaram sahaja yang boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami batu karang, makanan bergula pun sama!

Oleh sebab itu, pantau kesihatan anak-anak anda. Elakkan memberi mereka makanan yang mempunyai kandungan garam atau gula yang tinggi.

Jenis-jenis batu karang

Gambar via Hello Doktor

Terdapat 4 jenis batu karang; kalsium oksalat, asid urik, struvite dan cysteine. Batu karang akan terbentuk apabila urin menjadi pekat. Ini akan menyebabkan mineral melekat bersama lalu membentuk hablur.

1. Batu karang kalsium

Kebanyakan batu karang merupakan dari jenis batu kalsium dan selalunya dalam bentuk kalsium oksalat. Untuk pengetahuan anda, oksalat ialah bahan yang boleh dijumpai secara semula jadi di dalam makanan seperti kekacang dan juga coklat.

2. Batu struvite

Batu struvite terbentuk akibat jangkitan pada kawasan saluran kencing. Batu jenis ini boleh membesar dengan cepat tanpa sebarang simptom.

3. Batu urik asid

Batu jenis ini terbentuk dalam kalangan individu yang kehilangan terlalu banyak air disebabkan cirit birit yang kronik ataupun mempunyai masalah penyerapan, terutamanya yang mengamalkan diet tinggi protein atau mempunyai penyakit diabetes.

4. Batu cysteine

Batu ini terbentuk dalam kalangan individu yang mempunyai penyakit keturunan yang dikenali sebagai cystinuria.

Penyakit ini menyebabkan individu tersebut mengkumuhkan terlalu banyak asid amino keluar daripada buah pinggang.

Apakah simptom penyakit batu karang?

Jika batu karang yang berada di dalam saluran air kencing bersaiz kecil, pesakit mungkin tidak

akan alami sebarang simptom. Malah, mereka juga mungkin tidak tahu bahawa dirinya pernah alami batu karang.

Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai batu karang yang bersaiz besar, anda mungkin akan alami simptom seperti berikut:

1. Sakit pada bahagian bawah abdomen.

Penyakit batu karang akan mendatangkan kesakitan apabila ia menyebabkan iritasi atau tersumbat pada saluran air kencing.

Apabila batu karang tersangkut, pengaliran air kencing akan tersekat dan ini akan menyebabkan rasa sakit yang amat sangat pada bahagian abdomen.

Kesakitan yang disebabkan oleh batu karang boleh berubah-ubah mengikut lokasi. Sebagai contoh, pesakit mungkin akan rasa semakin sakit apabila batu tersebut bergerak melalui saluran air kencing.

2. Pedih ketika membuang air kecil.

Rasa pedih ketika kencing merupakan salah satu tanda penyakit batu karang. Walau bagaimanapun, ia selalu disalah anggap sebagai jangkitan saluran kencing atau UTI.

Jika anda tidak pasti, berjumpalah dengan doktor secepat mungkin.

3. Terpaksa membuang air kecil dengan kerap.

Pesakit yang mengalami batu karang akan kerap ke tandas untuk membuang air kecil. Selain itu, mereka juga sering rasa ingin terkencing secara tiba-tiba atau alami masalah kecing tidak lawas.

4. Darah di dalam air kencing.

Air kencing yang berwarna merah jambu, merah gelap atau coklat merupakan tanda pendarahan. Selain itu, pesakit juga mungkin akan alami simptom lain seperti air kencing yang keruh dan berbau busuk.

Diagnosis dan rawatan penyakit batu karang

Rawatan penyakit batu karang

Gambar via Hello Doktor

Rawatan untuk batu karang berbeza mengikut jenis batu dan juga penyebabnya. Untuk individu yang mempunyai batu yang bersaiz kecil dan simptom yang sederhana, rawatan yang diberikan selalunya bersifat tidak invasif.

Pesakit batu karang perlu minum sekurang-kurangnya 3 liter air sehari untuk mengelakkan batu karang daripada kembali terbentuk. Oleh sebab itu, pastikan anda minum banyak air hingga air kencing berwarna jernih atau hampir jernih.

Ultrasonography dan X-ray untuk mengesan batu karang

Untuk mengenal pasti kedudukan batu karang dengan lebih dekat, doktor mungkin akan menggunakan X-ray atau ultrasonography sebagai alternatif untuk imbasan CT.

X-ray tidak dapat melakukan diagnosis batu karang dengan tepat. Ia juga tidak dapat mengenalpasti batu lain selain batu kalsium.

Oleh sebab itu, doktor mungkin akan menggunakan ultrasonografi untuk mengimbas badan pesakit. Imbasan jenis ini lebih tepat dan boleh mengesan batu karang dengan saiz yang kecil.

Mengambil ubat-ubatan tertentu

Doktor mungkin akan memberi preskripsi ubat tahan sakit untuk pesakit kerana proses pengeluaran batu boleh mengakibatkan ketidakselesaan.

Selain itu, doktor juga akan membekalkan pesakit dengan ubat yang dikenali sebagai alpha blocker. Ubat ini dapat membantu untuk mengendurkan otot pada saluran air kencing supaya batu karang boleh keluar dengan lebih cepat dan tidak menyakitkan.

Walau bagaimanapun, untuk batu karang yang lebih besar saiznya, pesakit mungkin perlu melakukan prosedur yang lebih kompleks.

Batu karang yang besar tidak dapat keluar dengan sendirinya. Malah, ia boleh menyebabkan kecederaan seperti luka dan urinary tract infection (UTI).

Pencegahan penyakit batu karang

Untuk pengetahuan anda, penyakit batu karang akan meningkatkan risiko individu untuk menghidap penyakit buah pinggang yang kronik.

Malah, jika anda pernah didiagnosis dengan batu karang, anda mempunyai risiko yang besar untuk mengalaminya sekali lagi pada masa hadapan.

Tambahan lagi, mereka mempunyai peningkatan risiko sebanyak 50% untuk membentuk batu karang dalam masa 5 atau 7 tahun yang akan datang.

Batu karang boleh dicegah dengan perubahan gaya hidup. Sebagai contoh:

1. Minum lebih banyak air untuk elak batu karang

Gambar via Hello Doktor

Individu yang mempunyai sejarah penyakit batu karang perlu minum air dengan mencukupi dan bersenam dengan kerap. Lebih-lebih lagi jika anda tinggal di kawasan yang panas.

Jika air kencing anda berwarna jernih, itu mungkin bermaksud anda minum air dengan mencukupi. Untuk elakkan batu karang daripada kembali terbentuk, anda perlu minum sekurang-kurangnya 3 liter air sehari.

Minuman seperti jus buah, teh dan kopi juga termasuk di dalam kuota 3 liter tersebut. Namun, sudah tentulah air yang terbaik ialah air putih.

2. Makan makanan yang rendah oksalat

Jika anda kerap membentuk batu karang jenis kalsium oksalat, doktor mungkin akan mencadangkan agar anda mengurangkan pengambilan makan yang mengandungi oksalat.

Sebagi contoh, kurangkan makanan seperti bayam, ubi kayu, kekacang, teh, coklat, lada hitam dan juga produk berasaskan soya.

3. Amalkan diet rendah garam

Kurangkan garam dalam makanan. Pada masa yang sama, hadkan pengambilan protein daripada haiwan seperti daging dan kekacang.

Diet yang kaya dengan protein akan meningkatkan konsentrasi asik urik dan kalsium oksalat di dalam air kencing.

Makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran untuk kurangkan keasidan urin. Apabila urin tidak terlalu berasid, batu karang lebih sukar untuk terbentuk.

4. Berhati-hati jika mengambil suplemen kalsium

Kalsium di dalam supplemen boleh meningkatkan risiko anda menghidap batu karang. Namun, ada juga indidividu yang lebih berisiko untuk membentuk batu karang jika mereka mengalamalkan diet rendah kalsium.

Cara yang paling selamat untuk memenuhi keperluan kalsium anda tanpa mendatangkan bahaya pada buah pinggang adalah dengan mengambil makanan yang kaya dengan kalsium.

Walau bagaimanapun, pesakit yang menghidap penyakit batu karang disarankan untuk rujuk kepada ahli dietetik untuk merangka pelan pemakanan yang boleh mengurangkan risiko penyakit ini.

Bila anda perlu berjumpa doktor

Jika anda mempunyai simptom seperti rasa sakit pada bahagian bawah abdomen, pedih ketika membuang air atau ada tompokan darah di dalam air kencing, pastikan anda berjumpa dengan doktor untuk rawatan lanjut.

Kesakitan yang disebabkan oleh batu karang boleh mengganggu kelancaran aktiviti seharian anda. Oleh sebab itu, anda perlu mendapatkan rawatan dalam kadar yang segera.

Batu karang yang bersifat ‘senyap’ dan tidak menunjukkan apa-apa simptom selalunya ditemui ketika pesakit melakukan ujian kesihatan.

Walau bagaimanapun, ramai yang didiagnosis dengan batu karang setelah mereka merasakan kesakitan pada bahagian abdomen.

Jika doktor mengesyaki anda mempunyai batu karang, beliau akan melakukan beberapa prosedur dan ujian diagnostik seperti;

  • Ujian darah: Pesakit yang mempunyai batu karang akan mencatatkan kandungan kalsium atau asid urik yang tinggi di dalam darah.
  • Ujian air kencing: Doktor mungkin akan melakukan ujian ini untuk menentukan sama ada anda mengkumuhkan terlalu banyak mineral di dalam air kencing.
  • Ujian pengimejan: Imbasan CT boleh digunakan untuk mengimbas batu karang yang bersaiz kecil di dalam saluran air kencing pesakit. Imbasan X-ray biasa tidak akan digunakan untuk mengesan penyakit batu karang kerana ia tidak dapat mengesan batu yang bersaiz kecil di dalam saluran kencing.

Setelah mengesan batu karang, doktor akan menentukan cara yang terbaik untuk merawat kondisi pesakit.

Perkara seperti kesihatan buah pinggang dan juga kesihatan badan secara menyeluruh adalah antara perkara penting yang akan mempengaruhi keputusan doktor.

Jangan ambil mudah penyakit batu karang

Batu karang boleh datang dalam bentuk dan saiz yang berbeza-beza. Penyakit ini juga boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor daripada diet hingga gaya hidup seseorang.

Salah satu tanda batu karang ialah sakit pada bahagian pelvis atau belakang badan. Selain itu, penyakit batu karang juga akan menyebabkan ketidakselesaan akibat kencing yang tidak lawas.

Jika anda mula merasai simptom-simptom ini, pastikan anda berjumpa dengan doktor secepat mungkin. Kondisi ini boleh dirawat jika anda merujuk kepada doktor dengan kadar yang segera.

Ada ubat-ubatan berasaskan herba yang di promosikan sebagai alternatif untuk mengubat batu karang. Sebagai pengguna, anda perlu tahu bahawa ubat-ubatan yang dijual ini tidak mempunyai bukti saintifik yang mencukupi untuk menyokong kenyataan mereka.

Cara yang terbaik untuk mengelakkan pembentukan batu karang ialah dengan melakukan perubahan dari segi gaya hidup.

Pesakit haruslah minum lebih banyak air, kurangkan makanan yang bergaram dan ambil ubat seperti yang diminta oleh doktor.

Semua amalan ini dapat membantu pesakit batu karang untuk mengelakkan penyakit ini daripada berulang pada masa hadapan.

BACA: “Jangan Risau Kantoi,” Abang Ni Kongsi ‘Helah’ Nak Ajak Member Pergi Bangkok Secara Percuma

Sumber: Hello Doktor, Vox, Murry Gans

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.