Siakap Keli
bola dinamakan bersatu
Gambar: FB Warrix

Piala AFF 2022: Bola Sepak Rasmi Dinamakan ‘Bersatu’

Syarikat pengeluar barangan sukan Thailand, Warrix memperkenalkan bola sepak rasmi Kejohanan Bola Sepak ASEAN, Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang dinamakan sebagai BERSATU.

Menerusi satu kenyataan di Facebook, Warrix berkata nama itu diberikan atas semangat positif yang ditunjukkan oleh masyarakat dari negara-negara di sekitar Asia.

“Nama ‘BERSATU’ bola sepak diilhamkan oleh perpaduan, penyatuan, komunikasi yang baik, keharmonian, kerjasama serta menggambarkan perpaduan dalam komuniti masyarakat ASEAN,” kata syarikat itu.

Difahamkan reka bentuk bola itu direka khas mengikut bentuk moden serta mempunyai ciri-ciri yang menarik seperti Thermo Bonded yang melancarkan pergerakan bola di padang.

Dalam pada itu, bola itu turut mempunyai keseimbangan yang bagus serta membantu pemain mengawal bola dengan baik tanpa mempunyai masalah.

Pasukan kebangsaan Thailand kembali dengan semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan takhta juara di Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 serta memberi ganjaran kepada peminat bola sepak negara berkenaan.

Gambar: FB Warrix

Bagi undian Kejohanan AFF, ia dibahagikan kepada Kumpulan A yang terdiri daripada juara bertahan iaitu pasukan kebangsaan Thailand, Filipina, Indonesia, Kemboja dan satu lagi pasukan sama ada Brunei atau Timor-Leste.

Bagi kumpulan B pula terdiri daripada pasukan kebangsaan Vietnam, Malaysia, Singapura, Myanmar dan Laos.

Sementara itu, difahamkan juga tarikh bagi kejohanan tersebut telah dikeluarkan dan mempunyai empat tarikh bagi empat perlawanan.

Bermula 23 Disember ini, Thailand akan berdepan dengan Kemboja dan disusuli perlawanan menentang Filipina pada 29 Disember selanjutnya.

Difahamkan, kejohanan itu bermula lima hari selepas Piala Dunia FIFA di Qatar berakhir, sekali gus memastikan semangat bola sepak berterusan untuk peminat-peminat sukan tersebut di Asia Tenggara.

Sumber: Warrix

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana