Siakap Keli

Suami Maut Dilanggar SUV, Balu ‘Rider’ Grab Tak Sangka Terima Bantuan Setiap Bulan

Balu Allahyarham Muhaimin Mohad Sain @ Mohd Said, 34, telah menerima beberapa bentuk bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) semalam.

Nur Izwana Othman, 26 yang baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Muhaimin kurang sebulan lalu telah menerima bantuan Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan serta Faedah Orang Tanggungan (FOT). Bantuan ini disalurkan susulan arwah merupakan pencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

“Balu arwah layak menerima bantuan Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan untuk Akta 4 berjumlah RM882.98 sebulan yang dibayar secara berkala sepanjang hayat.

“Selain itu, balu arwah juga layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM837.00 sebulan yang akan dibayar seumur hidup serta Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000.00 untuk sekali bayar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi Akta 789,” tulis pertubuhan tersebut dalam satu siaran akhbar semalam.

Menurut Nur Izwana, bantuan itu disifatkan membantu meringankan bebannya dan keluarga mertua selepas berhenti kerja kerana mengikut suaminya itu berpindah selepas kahwin.

“Saya berterima kasih sebab ada bantuan ni. Arwah pun saya tak sangka dia ada mencarum PERKESO. Sebab yang saya tahu dia bekerja dulu di SENQ, tapi yang sendiri punya caruman saya tak tahu. Tapi saya bersyukur dia pun ada rasa nak mencarum untuk diri sendiri. Saya rasa dapat ringankan beban saya sebab saya pun dah berhenti kerja sebab dah berpindah ke sini. Saya boleh bantu jaga ibunya, dapat ringankan beban sikitlah untuk saya,” ujarnya ketika ditemubual.

Kerajaan tanggung 80% caruman untuk individu bekerja sendiri

Menurut PERKESO, Allahyarham merupakan salah seorang penerima insentif Kerajaan melalui SPS Padanan Caruman (SPS Gig) di bawah Bajet 2022. Dalam program ini, bayaran caruman sebanyak RM186.20 (80 peratus) akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan manakala pencarum hanya perlu membayar RM46.60 sahaja di bawah Pelan Caruman Kedua SKSPS.

Muhaimin yang merupakan seorang penghantar makanan telah terkorban akibat dilanggar sebuah kenderaan SUV di persimpangan lampu isyarat di Jalan Haji Sirat, Meru pada 3 September lalu. Mangsa disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah pada dada dan organ dalaman.

Untuk pengetahuan, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), merupakan salah satu usaha berterusan PERKESO menawarkan perlindungan kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) terutamanya mereka yang terlibat dalam Sektor Pengangkutan Penumpang dan Sektor Pengangkutan dan Penghantaran Barangan atau Makanan. 

Bermula 1 Oktober sehingga 31 Oktober ini, PERKESO melancarkan Bulan Pemutihan SKSPS 2.0 di mana orang ramai boleh mendaftar dan mencarum secara sukarela. 

Menurut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), kegagalan OBS dalam dua sektor terlibat mendaftar dan mencarum SKSPS merupakan satu kesalahan. Individu terlibat boleh dipenjara sehingga 2 tahun atau didenda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, sepanjang Bulan Pemutihan ini, tiada Notis Amaran SKSPS akan dikeluarkan buat semua kumpulan OBS yang tampil mendaftar secara sukarela sehingga 31 Oktober akan datang.

Individu bekerja sendiri yang ingin mendaftar skim tersebut boleh ke portal Matrix PERKESO atau hadir ke mana-mana 54 pejabat PERKESO di seluruh negara.

Amira

Love yourself.