Tiada lagi aksi peringkat kumpulan bagi format TM Piala Malaysia 2022 yang terbaharu, sebaliknya semua pasukan akan diundi untuk memulakan cabaran di pusingan 16 pasukan secara timbal balik.
Malaysian Football League (MFL) dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat ahli lembaga pengarah selepas mengambil kira beberapa faktor seperti kepadatan kalendar semasa dan impaknya kepada Piala Malaysia.
Dalam masa sama, faktor ramalan cuaca yang kurang memberangsangkan sejak akhir-akhir ini turut tidak memberi peluang kepada MFL untuk penangguhan perlawanan sekiranya diperlukan.
“Pada 29 September 2022, MFL telah mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) di mana memaklumkan bahawa akan berlaku hujan lebat pada bulan Oktober sehingga Disember 2022.
“Tambahan pula, kerajaan Malaysia telah mengeluarkan peringatan bahawa akan berlaku fenomena air pasang besar yang akan menyebabkan berlakunya banjir di hampir seluruh negeri di Malaysia pada bulan-bulan yang akan datang.
“Jadual Liga Malaysia 2022 amat padat akibat penundaan beberapa perlawanan yang tidak dapat dielakkan pada awal musim 2022 disebabkan penularan Covid-19 di dalam beberapa pasukan dan juga kejohanan-kejohanan penting pasukan pasukan kebangsaan,” maklum MFL.
Justeru, jelas MFL, ketiadaan perlawanan peringkat kumpulan pada format terbaharu kali ini dapat memberikan ruang dan masa kepada pasukan-pasukan dan MFL sendiri.
Tambah MFL, selain mampu mencegah isu kecederaan pemain, format baharu itu juga dapat mengimbangi kualiti TM Piala Malaysia 2022 sebagai salah satu kejohanan paling tertua di Asia.
“Ini kerana sekiranya perlawanan tidak dapat dimainkan atau ditunda atau dihentikan akibat perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan terutamanya faktor cuaca dengan tempoh masa yang ada, ia membolehkan perlawanan tersebut terus dimainkan pada keesokan hari atau pada mana-mana tarikh yang dirasau sesuai oleh MFL.
“(Ia juga) turut mengambil kira faktor kebanyakan kontrak pemain-pemain bakal berakhir pada penghujung November 2022 sekiranya masih berlaku penundaan perlawanan TM Piala Malaysia,” tambah kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, menurut MFL ketiadaan perlawanan peringkat kumpulan akan memberi nafas baharu dalam jadual perlawanan TM Piala Malaysia 2022 menerusi empat keadaan.
Jelas MFL ia akan memberi ruang dalam jadual sekiranya perlawanan tidak boleh dimainkan atau ditunda akibat perkara tidak dapat dielakkan, terutamanya faktor cuaca dan boleh dimainkan keesokan hari atau tarikh lain yang sesuai.
Selain itu, ia juga dapat memberi pemain mendapat rehat secukupnya bagi mengekalkan tahap kecergasan dan prestasi pemain bagi menjamin perlawanan yang kompetitif serta mengutamakan pencegahan kecederaan.
“(Ia) memberikan pasukan lebih banyak masa untuk pengendalian logistik dan pengendalian perlawanan yang disediakan dengan baik, teratur dan selamat.
“(Ia juga) membenarkan pasukan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan padang perlawanan dapat dijalankan dengan lebih efisyen bagi memastikan keadaan padang di tahap yang terbaik,” tambah MFL lagi.
Situasi Kuala Lumpur City dalam perlawanan akhir Piala AFC
Sementara itu, MFL menjelaskan perlawanan pembuka tirai TM Piala Malaysia 2022 juga turut bergantung dengan situasi semasa pasukan Kuala Lumpur City yang bakal mengharungi perlawanan Piala AFC peringkat akhir.
“Sekiranya Kuala Lumpur City layak ke perlawanaan akhir Piala AFC, kejohanan TM Piala Malaysia yang menyambut ulang tahun ke-101 pada tahun ini akan membuka tirai bermula sekitar 25 dan 26 Oktober ini.
“(Namun) sekiranya Kuala Lumpur City tidak layak ke perlawanaan akhir Piala AFC, kejohanan TM Piala Malaysia yang menyambut ulang tahun ke-101 pada tahun ini akan membuka tirai seawal 21 dan 22 Oktober ini,” tambah MFL lagi.
Berbalik kepada konteks, format baharu TM Piala Malaysia 2022 ini akan menampilkan perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik yang diadakan secara timbal balik dan disusuli peringkat suku akhir dan separuh akhir (secara timbal balik juga).
Sorotan perlawanan berkenaan membawa kepada peringkat akhir (final) TM Piala Malaysia 2022 di mana ia akan dilangsungkan di venue neutral pada 26 November ini.
Sumber: Malaysian Football League (MFL)