Siakap Keli
Kredit BERNAMA

Fasa Pertama Pemasangan Lokar Sekolah Selesai Hujung Bulan Ini – Radzi

Fasa pertama pemasangan lokar sekolah selesai hujung bulan ini – Radzi

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) — Fasa pertama pemasangan lokar di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi dijangka selesai pada akhir bulan ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata pemasangan lokar secara berperingkat itu melibatkan 626 sekolah seluruh negara untuk murid Tahun Satu dan Dua yang merupakan satu daripada tujuh inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani isu beg berat.

“Di Gombak sahaja kita ada 38 sekolah dua sesi yang terlibat dalam menerima lokar dan sehingga kini lima sekolah sudah selesai dipasang dan semua sekolah terpilih akan dipasang lokar sebelum akhir bulan ini.

“Kita minta pembekal untuk pasang secepat mungkin dan sekiranya ada pertambahan kita akan selesaikan dalam Fasa kedua,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lokar Fasa Satu Sekolah Kebangsaan Gombak Setia di sini hari ini.

Sebelum ini, KPM mengumumkan tujuh inisiatif menangani isu beg berat antara lain melaksanakan penyusunan semula jadual waktu, mengehadkan bilangan buku latihan dan pendekatan waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Bagi memastikan isu beg berat tidak berulang, Radzi berkata pihaknya akan meminta Jemaah Nazir untuk mengadakan pemantaun bagi memastikan tujuh insiatif tersebut dipatuhi sebaiknya.

Beliau juga meminta ibu bapa dan guru bekerjasama untuk memastikan murid dapat memanfaatkan inisiatif yang diberikan bagi meringankan beban mereka.

Radzi juga menzahirkan terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bersetuju agar pakaian seragam sekolah kebangsaan digunakan bagi kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Ditanya mengenai cadangan UMNO untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun ini, Radzi berkata keutamaan sepatutnya diberikan kepada rakyat termasuk menilai risiko banjir yang dijangka berlaku pada akhir tahun.

“Penggunaan sekolah sebagai pusat pemindahan sementara adalah satu kebiasaan sejak sekian lama, dan pada masa sama sekolah juga digunakan sebagai pusat mengundi.

“Bukan sahaja sekolah, guru juga banyak membantu pengurusan banjir, sebab itu saya kata kenapa (hendak adakan PRU-15) sekarang, seolah-olah kita tidak ada masa lain,” katanya.

— BERNAMA

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka