Siakap Keli
Lima Jentera Usar Bomba Bernilai RM7.5 Juta Diterima Bermula Tahun Depan
Gambar: Bernama

Lima Jentera USAR Bomba Bernilai RM7.5 Juta Diterima Bermula Tahun Depan

KUANTAN, 5 Okt (Bernama) — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dijangka menerima lima jentera Urban Search and Rescue (USAR) bernilai RM7.5 juta dalam tempoh dua tahun bermula 2023 bagi kegunaan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohamad berkata setiap satu jentera berkenaan bernilai RM1.5 juta seunit dan direka mengikut spesifikasi bagi pasukan itu menjalankan operasi antaranya di kawasan runtuhan struktur dan bangunan.

“Jentera ini khas jadi unit pertama prototaip, kita tengok kelengkapan yang dibekalkan sesuai atau tidak dan kita akan pasang di Malaysia, kita jangka akan terima pada 2023.

“Kemudian pada 2024 kita akan terima unit seterusnya menjadikannya lima unit dan 2025 kita akan fokus latihan kepada anggota STORM untuk membiasakan diri dengan kelengkapan berkenaan seperti penggunaan mikro kamera, alat pemotong besar, alat gerudi yang tidak menggunakan generator,” katanya dan menambah terdapat 459 anggota STORM di Malaysia.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Kursus Survival STORM di sini hari ini, yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah Razali Kasim yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Datuk Abd Rahim Muda.

Hadir sama, Pengarah JBPM Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dan Penolong Pengarah Operasi Bomba Pahang merangkap Ketua Urusetia Penganjuran Kursus Ismail Abd Ghani.

Seramai 47 anggota termasuk lima wanita menyertai kursus berkenaan yang bermula pada 25 Sept lepas dan anggota didedahkan antaranya dengan modul ikhtiar hidup di hutan dan paya.

Mengulas mengenai banjir, Nor Hisham berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk menghadapi banjir termasuk ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, pangkalan hadapan JBPM antaranya di Wakaf Tapai, Terengganu yang mempunyai keanggotaan yang besar sedia untuk digerakkan ke lokasi yang berlaku banjir terutamanya di kawasan Pantai Timur kelak.

Sementara itu, Wan Mohammad Zaidi berkata sebanyak 553 kawasan berisiko banjir di Pahang telah dikenal pasti bagaimanapun, pihaknya akan turut memantau lokasi lain yang dikhuatiri turut berlaku bencana alam itu.

“Berdasarkan pengalaman lepas, ada lokasi dijangka banjir tetapi tidak banjir…jadi kita sentiasa waspada dan bersedia termasuk dari segi perjawatan yang melibatkan 1,111 anggota termasuk bomba bantuan selain memastikan lebih 51 logistik seperti bot aluminium dan fiber berada dalam keadaan baik dan sedia digunakan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi melancarkan operasi menyelamat, pihaknya turut melakukan libat urus bersama Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri selain pihak radio amatur serta pemilik kenderaan pacuan empat roda.

“Berdasarkan situasi lepas, beberapa lokasi terputus komunikasi jadi kita buat libat urus dengan pihak radio amatur bantu dalam komunikasi, begitu juga kenderaan pacuan empat roda yang perlu digunakan di kawasan berbukit dan lumpur yang jentera logistik bomba tidak sesuai di kawasan itu,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Muhd Iqbal