Siakap Keli
Makan Sebelum Bersenam Atau Selepas
Gambar: Tri-City Medical Center

Makan Sebelum Bersenam, Atau Selepas Lagi Cepat Kurus? Ini Jawapan Yang Ramai Tak Tahu

Makan Sebelum Bersenam, Atau Selepas Lagi Cepat Kurus? Ini Jawapan Yang Ramai Tak Tahu

Terdapat segelintir individu yang berpendapat bahawa melakukan “workout” dengan perut kosong menyebabkan lebih banyak pembakaran kalori.

Apabila kalori terbakar dengan lebih banyak, sudah pasti mereka beranggapan berat badan akan menurun dengan lebih cepat.

Walaupun terdapat banyak kajian yang membuktikan bahawa bersenam tanpa mengambil makanan akan membakar lebih banyak lemak tetapi kita perlu fahami keseluruhan kajian tersebut kerana ia tak semudah yang disangka.

Pembakaran lemak bukan sahaja dilakukan ketika bersenam tetapi juga perlu dilakukan selepas selesai bersenam supaya pembakaran lemak akan terus berlaku dalam tempoh waktu yang panjang.

Namun, adakah benar bahawa melakukan senaman dengan perut kosong akan membantu pengurangan berat badan dengan lebih cepat atau hanya rekaan semata-mata?

Hello Doktor ada membuat perkongsian mengenai bersenam dengan perut kosong lebih cepat kurus atau sebaliknya seperti berikut:

Melakukan senaman itu penting. Tetapi benarkah jika tidak makan sebelum bersenam dapat membantu mengurangkan lebih berat badan?

Nak tahu jawapannya? Ayuh teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk penjelasan mengenai persoalan tersebut.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Badan Sihat, sila dapatkannya di sini.

Tidak makan sebelum bersenam bantu turunkan berat?

Menjaga kesihatan adalah mustahak dan bersenam adalah antara cara untuk melakukannya.

Namun kita sering disogok dengan pelbagai petua dan nasihat berkaitan senaman, seperti bersenam dengan perut kosong akan mempercepatkan penurunan berat badan. Adakah ia berkesan?

Umumnya, melakukan aktiviti fizikal semasa perut kosong dikenali sebagai puasa kardio (fasted cardio).

Teorinya adalah badan akan menggunakan lemak serta karbohidrat yang disimpan sebagai tenaga dan bukannya melalui makanan baru dimakan – sekali gus membawa kehilangan lemak lebih tinggi.

Berdasarkan kajian yang dilakukan pada tahun 2016, menunjukkan manfaat bersenam dalam keadaan berpuasa dari aspek pengurusan berat badan.

Hasil penyelidikan melibatkan 12 lelaki ini mendapati mereka yang tidak mengambil makanan sebelum bersenam akan membakar lebih banyak lemak dan mengurangkan pengambilan kalori dalam tempoh 24 jam.

Pun begitu, ada kajian yang menyangkal hasil dapatan tersebut.

Melalui penyelidikan pada 2014 ke atas 20 wanita mendapati tiada perbezaan ketara dalam perubahan komposisi badan antara kumpulan yang makan atau tidak makan sebelum melakukan senaman.

Sebagai sebahagian daripada kajian, penyelidik mengambil ukuran berat badan, peratus lemak badan dan lilitan pinggang selama 4 minggu. Pada akhir kajian, kedua-dua kumpulan telah menunjukkan kehilangan berat badan dan jisim lemak.

Ini bermakna lebih banyak kajian mendalam untuk jangka masa lebih lama perlu dilakukan untuk mengembang dan mengesahkan penemuan ini.

Tidak mengambil makanan sebelum bersenam juga mengakibatkan tubuh menggunakan protein sebagai bahan api. Ini boleh menyebabkan badan kurang protein yang diperlukan untuk membina dan membaiki otot selepas bersenam.

Di samping itu, menggunakan lemak sebagai tenaga tidak semestinya bermakna anda akan mengurangkan keseluruhan peratusan lemak badan atau membakar lebih banyak kalori.

Selamat ke tidak makan sebelum bersenam?

Gambar: pixabay

Walaupun terdapat penyelidikan yang menyokong untuk bersenam semasa perut kosong, ia tidak bermakna tindakan tersebut sesuai untuk dilakukan.

Apabila melakukan aktiviti fizikal dengan perut kosong, anda mungkin membakar sumber tenaga berharga dan akan mengakibatkan diri mempunyai stamina yang kurang.

Paras gula dalam darah yang rendah juga boleh mengakibatkan anda berasa pening, loya atau berasa hendak tumbang (shaky).

Kemungkinan lain yang boleh terjadi adalah tubuh akan menyesuaikan diri untuk terus menggunakan simpanan lemak sebagai tenaga dan mula menyimpan lebih banyak lemak daripada biasa.

Makanan terbaik sebelum melakukan senaman

Gambar: unsplash

Berikut antara pilihan makanan yang seimbang untuk meningkatkan prestasi kesukanan anda:

  • Makan makanan berkhasiat dan semula jadi, elakkan makanan diproses
  • Sertakan karbohidrat sihat seperti buah-buahan dan sayuran segar, bijirin penuh dan legum
  • Pilih lemak yang sihat seperti minyak zaitun dan kelapa, minyak sapi dan avokado
  • Dapatkan protein daripada daging tanpa lemak, telur dan produk tenusu rendah lemak
  • Kacang, bijian dan taugeh adalah tambahan sihat kepada diet, contohnya makanan tinggi zat besi seperti ikan, kacang dan sayuran hijau

Jika anda memutuskan untuk makan sebelum melakukan senaman, pilih makanan yang mudah dihadam – mengandungi karbohidrat, protein dan lemak.

Sebaiknya makan antara 2-3 jam sebelum bersenam. Jika ingin cepat, ambillah makanan seperti bar tenaga, sandwic mentega kacang atau buah segar mahupun kering.

Pastikan anda kekal terhidrat sebelum, semasa dan selepas bersukan dengan minum air mencukupi.

Makanan tertentu boleh menambah baik dan mempercepatkan pemulihan diri selepas bersenam. Ambillah makanan yang mempunyai karbohidrat, protein dan serat dalam masa 30 minit – 2 jam selepas menamatkan senaman anda.

Protein yang sihat boleh meningkatkan sistem imun anda dan mempercepatkan penyembuhan luka. Makanan yang mengandungi vitamin C dan D, zink serta kalsium juga bermanfaat untuk tubuh.

Berikut antara pilihan makanan selepas bersenam yang sihat:

  • Susu coklat rendah lemak
  • Smoothie buah
  • Bar tenaga
  • Sandwic
  • Roti gandum penuh
  • Susu soya
  • Kacang atau bijian
  • Buah atau jus prun
  • Yogurt dengan buah beri

Makan @ tidak makan sebelum bersenam

Jika anda ingin melakukan senaman semasa perut kosong, teruskan. Namun ia mungkin tidak sesuai untuk aktiviti lasak atau berpanjangan. Anda adalah ‘pengukur terbaik’ keadaan diri anda.

Sekiranya berasakan anda lebih produktif jika tidak makan sebelum bersenam, tiada sebab untuk menukar rutin kebiasaan ini.

Andai sebaliknya, ambillah snek ringan seperti potongan buah sebelum bersenam untuk meningkatkan tenaga bagi melakukan senaman. Ia juga membolehkan anda bersenam lebih lama dan membakar banyak atau dalam jumlah yang sama untuk kalori dan lemak.

Paling penting, pastikan diri kekal terhidrat, mengamalkan diet seimbang dan menjalani gaya hidup selaras dengan kesihatan anda.

Secara keseluruhannya, terpulang kepada pandangan masing-masing yang mana terbaik. Jika ingin bersenam dengan perut kosong, teruskan kerana anda tahu yang mana terbaik untuk tubuh badan sendiri. Jangan lupa untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Diharapkan agar perkongsian ini memberi pengetahuan yang baru dan bermanfaat kepada anda semua.

Sumber: Hello Doktor

Baca: “Sekelip Mata Bisnes Boleh Lingkup,” Ini Realiti Peniaga Di KL Kena Hadam Bila Duit ‘Rolling’ Modal Tak Cukup

Noorliyana Ishak