Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

DYMM Sultan Selangor Seru Ulama Saling Menghormati Dalam Perbezaan Pandangan

Amira

Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor Darul Ehsan Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, sempena Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-121 pada Isnin, 6 Oktober 2022 bersamaan 9 Rabi’ul Awwal 1444H, jam 10 pagi di Dewan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam

“Saling Menghormati Dalam Perbezaan Pandangan”

Assalamu alaikum wa-rahmatullahi wa-barakatuh Bismillahir rahmanir rahim

1. Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya juga, Beta dapat berangkat, seterusnya merasmikan mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke seratus dua puluh satu (121) yang dipengerusikan buat julung-julung kalinya ini oleh Pengerusi yang baharu; Dato’ Haji Nooh bin Gadot.

2. Tujuan utama penubuhan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ialah untuk menjadi forum di mana para Mufti di seluruh negara, alim ulama’ dan pakar-pakar dalam bidang-bidang tertentu dapat duduk bersama bagi membincang, menimbang, memutus dan mengeluarkan keputusan muzakarah untuk dijadikan fatwa bagi peringkat negeri masing-masing. Keputusan yang dikeluarkan ini bukan sahaja mencakupi masalah fiqh, akidah dan tasawuf tetapi juga melibatkan pelbagai isu yang mengaitkan kepentingan umat Islam dan Negara.

3. Sepertikitasediamaklum, JawatankuasaMuzakarah MKI ini yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Fatwa Kebangsaan, telah bermuzakarah dan mengeluarkan keputusan muzakarah dalam pelbagai perkara seperti contohnya pengharaman ajaran Al-Arqam, membendung pengaruh Syiah, pengharaman buku dan fahaman anti hadis, kedudukan anak tidak sah taraf, senaman yoga dalam kalangan umat Islam, ajaran Qadiani serta keputusan pelantikan Peguam Syarie dari kalangan orang bukan Islam.

4. Ketika Negara berhadapan dengan pandemik Covid- 19, beberapa keputusan muzakarah telah dikeluarkan termasuklah penangguhan aktiviti masjid dan surau seperti solat berjemaah dan solat Jumaat, pengurusan jenazah secara tayamum bagi kematian akibat Covid-19, kaedah melihat anak bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah serta penyelarasan kaedah pembayaran zakat fitrah serta pernikahan secara online ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

5. Adalah tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa Jawatankuasa Muzakarah MKI memainkan peranan dan fungsi yang amat penting dalam masyarakat Islam di Malaysia dan menjadi menara rujukan hukum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

6. Negara Malaysia adalah unik di mana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Sultan-Sultan dan Raja-Raja adalah Ketua Agama bagi negeri-negeri yang beraja dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada negeri-negeri (kecuali Wilayah- wilayah Persekutuan) untuk mengurus dan mentadbirkan hal ehwal agama Islam, termasuklah soal yang berhubung fatwa.

7. Memandangkan setiap negeri mempunyai Jawatankausa Fatwa masing-masing, kadang kala terdapat konflik antara fatwa negeri dan keputusan muzakarah di peringkat kebangsaan serta antara satu negeri dengan negeri yang lain. Contohnya fatwa mengenai pelaburan dalam ASB dan ASN. Konflik dan ketidakseragaman ini menimbulkan kekeliruan dan masalah kepada masyarakat Islam dan mempunyai implikasi kepada pembangunan ekonomi Negara.

8. Justeru, salah satu fungsi dan tugas penting Jawatankuasa Muzakarah MKI ialah untuk menyelaras pengeluaran hukum dan fatwa bagi negeri-negeri di Malaysia. Ketetapan hukum oleh Jawatankuasa Muzakarah ini merupakan ijtihad kolektif (ijtihad jama‘i) semua Mufti negeri-negeri yang dibantu oleh pakar-pakar dalam bidang-bidang tertentu. Ini adalah merupakan mekanisme terbaik untuk menyelaras dan menetapkan sesuatu hukum syarak semasa yang dihadapi oleh umat

9. Beta ingin menegaskan bahawa penyelarasan dan penyeragaman fatwa oleh Jawatankuasa Muzakarah tidak sekali-kali menyentuh atau menjejaskan kuasa Sultan dan Raja di negeri-negeri sebagai Ketua Agama Islam dalam urusan pengeluaran fatwa.

Peraturan 9 (1) Peraturan- Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022 (MKI) secara jelas menyatakan bahawa tiada apa-apa tindakan MKI yang boleh menyentuh kedudukan, hak, keistimewaan, kedaulatan dan kuasa-kuasa yang ada pada Raja Pemerintah sebagai Ketua Agama dalam Negeri- negeri Baginda sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

10. Mengikut prosedur yang ditetapkan, keputusan dan pandangan Jawatankuasa Muzakarah akan dimaklumkan kepada MKI yang dipengerusikan oleh Beta yang kemudiannya akan dikemukakan bersama dengan pengesyorannya kepada Majlis Raja-Raja untuk dibincangkan dan diterima pakai oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri bagi tujuan pewartaannya di peringkat negeri. Keputusan muzakarah berkenaan akan hanya berkuatkuasa di negeri berkenaan selepas diperkenan oleh Raja Pemerintah Negeri dan diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri.

11. Dalam kesempatan ini juga, Beta ingin menyatakan beberapa perkara yang boleh menjamin integriti dan kepercayaan rakyat kepada Jawatankuasa Muzakarah MKI.

Pertamanya, sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI hanya boleh dibuat oleh Pengerusi Muzakarah. Tiada pihak lain termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atau JAKIM boleh membuat kenyataan berkenaan. Ini penting untuk memastikan agar keputusan muzakarah di peringkat kebangsaan dan fatwa di peringkat negeri tidak dipengaruhi unsur-unsur politik kepartian. JAKIM hanya bertindak sebagai urusetia Jawatankuasa Muzakarah MKI.

12. Keduanya, Beta menasihatkan para Mufti yang berada di dalam dewan ini, untuk sentiasa menghindarkan diri daripada perbalahan agama di ruang awam, lebih-lebih lagi jika isu yang berbangkit telah kita putuskan secara bersama dalam ruang Muzakarah.

Sebab itulah, sepanjang tahun 2022, salah satu isu yang membangkitkan rasa dukacita Beta ialah perbalahan tentang Keputusan Muzakarah bagi Tarekat Naqsyabandi al-Aliyyah pimpinan Sheikh Nazim al- Haqqani. Isu ini tidak sepatutnya dipanjangkan lagi kerana ia telah diputuskan secara konsensus oleh para Mufti dan ahli muzakarah yang hadir pada tahun 2020 di Kuantan yang memutuskan selepas kajian semula Tarekat ini boleh diamalkan oleh pengikutnya.

Sebab itulah Beta menzahirkan titah pada 9 April yang lepas bahawa sebarang polemik terhadap tarekat ini hendaklah dihentikan segera bagi menghormati keputusan Muzakarah tahun 2020 yang telah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja pada tahun 2021.

Oleh itu, Beta menasihatkan sekali lagi kepada semua agar perbalahan yang terjadi di antara mufti dan agamawan tidak seharusnya menjadi tontonan orang awam, kerana ia hanya akan merendahkan kewibawaan ulama itu sendiri. Sewajarnya, perbezaan pendapat ulama ini hanya dibincangkan di dalam Muzakarah dan tidak dibawa keluar dari gelanggang Muzakarah ini.

13. Ketiganya, Beta ingin menegaskan bahawa Malaysia ialah sebuah negara pelbagai kaum. Justeru, apa-apa keputusan muzakarah yang dikeluarkan hendaklah juga mengambil kira hak-hak dan kepentingan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam seperti yang dijamin secara sah di bawah Perlembagaan Persekutuan. Ajaran Islam sebagai agama yang murni dan memberi rahmat kepada semua termasuklah yang bukan Islam hendaklah sentiasa ditonjolkan.

14. Jawatankuasa Muzakarah juga perlu merangka peraturan dan adab-adab perbezaan pendapat antara Ahli-ahli Jawatankuasa Muzakarah. Sekiranya ada Mufti atau ahli yang memilih pendapat yang tidak mengharuskan sesebuah amalan yang terjadi khilaf di kalangan ulama terdahulu, setidak-tidaknya perlu ada Adabul Ikhtilaf, sikap agree to disagree dan beradab dalam berbeza pendapat.

15. Beta berharap Muzakarah pada pagi ini akan menjadi titik permulaan dalam memperbaiki institusi kefatwaan di Malaysia agar menjadi lebih baik dan bertaraf antarabangsa. Sudah sampai waktunya Malaysia juga menjadi kiblat kefatwaan bagi negara-negara Islam lainnya.

16. Mengakhiri titah, Beta menyeru agar semua pihak menghormati Ashabus Samahah Mufti-mufti di Malaysia dan menghormati institusi kefatwaan di negeri masing- masing. Semoga semua keputusan diberkati Allah subhanahu wa-ta’ala. Beta berdoa semoga Allah subhanahu wa-ta’ala memberkati usaha ini dan memberikan pedoman kepada kita semua. Semoga negara kita Malaysia senantiasa di bawah lindungan dan limpahan rahmat dari-Nya, Amin ya Rabbal Alamin.

Sekian.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh