Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perbezaan pandangan atau pendekatan antara kementerian tidak semestinya mencerminkan perpecahan dalam Kerajaan.
Sebaliknya, Anwar berkata, perkara itu merupakan sebahagian daripada proses perbincangan dan pertimbangan dasar yang mengambil kira tanggungjawab, bidang kuasa serta keutamaan masing-masing demi memastikan agenda Kerajaan MADANI dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Perbezaan Pandangan Bukan Tanda Kerajaan Berpecah
“Dalam hal ini, Kerajaan sentiasa memastikan penyelarasan antara kementerian dilaksanakan secara teratur bagi menjamin keselarasan dasar, mengelakkan pertindihan fungsi dan memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan kepentingan rakyat, keutamaan pembangunan negara serta kemampuan kewangan Kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai bagaimana Kementerian Kewangan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah boleh mengeluarkan pendirian yang bercanggah secara terbuka berhubung beberapa isu baru-baru ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi memastikan tadbir urus yang berkesan, setiap dasar dan keputusan Kerajaan perlu melalui proses pertimbangan serta penyelarasan sewajarnya.
“Perkara yang memerlukan keputusan kolektif akan dibawa untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri, selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama Jemaah Menteri.
“Sehubungan itu, Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara kementerian, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar serta memantau pencapaian setiap inisiatif bagi memastikan keputusan yang dibuat diterjemahkan kepada hasil yang nyata, mampan dan memberikan manfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata, prestasi ekonomi negara terus dipantau berdasarkan data dan petunjuk ekonomi semasa bagi menilai keberkesanan dasar yang dilaksanakan.
Selain itu, daya tahan ekonomi negara akan terus diperkukuh bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

