Sungai Di Empat Negeri Catat Peningkatan Paras Air
Beberapa sungai utama di empat negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Johor mencatatkan peningkatan paras air selepas hujan lebat melanda negara sejak petang tadi, lapor Astro Awani.
Setakat jam 10.40 malam, dua sungai di Negeri Sembilan berada pada peringkat amaran jingga. Sungai yang terlibat adalah Sungai Linggi di Mantau, Seremban dan Sungai Jimah di Pekan Linggi, Port Dickson.
Sungai Linggi dilaporkan berada pada paras 34.49 meter, manakala Sungai Jimah berada di paras 8.78 meter melebihi dari tahap paras amaran.
Selain itu dua sungai lagi di Negeri Sembilan berada pada paras hati-hati (kuning). Dua sungai tersebut ialah Sungai Linggi di Dusun Nior, Seremban dan Sungai Linggi di Pekan Linggi.
Di Melaka pula, paras air Sungai Melaka di Batu Hampar telah meningkat kepada paras amaran selepas berlaku peningkatan pada tahap 1.81 meter.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air memberi amaran bahawa paras air di beberapa kawasan di Selangor dilaporkan berada pada paras bahaya sebentar tadi.
Menerusi kemaskini di laman Facebook rasmi miliknya, kawasan yang telah melebihi peringkat bahaya itu adalah Lembangan Sungai Buloh, Sub Lembangan Sungai Buloh dan Stesen Sungai Buloh di Paya Jaras.
Sumber: Astro Awani