Wanita Sesat Di Pulau Besar Ditemui Dalam Keadaan Lemah, Dipercayai Hilang Ketika Dapatkan Rawatan Batin
Pasukan bomba telah menemui seorang wanita dalam keadaan lemah selepas dilaporkan sesat hampir dua jam ketika dia cuba mendapatkan rawatan secara batin di Pulau Besar malam tadi, lapor Kosmo.
Pasukan bomba berjaya menemui mangsa yang berusia 37 tahun itu kira-kira jam 10.45 malam tadi di kawasan berbatu penjuru pulau yang berada kira-kira 1.5 kilometer dari jeti utama Pulau Besar tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Faisal Fuad berkata, panggilan kecemasan telah diterima oleh pasukannya pada pukul 8.57 malam.
Kata Mohamad Faisal, 10 pegawai dan anggota dari BBP Merlimau serta Jasin telah dikejarkan ke lokasi wanita itu hilang bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Berdasarkan maklumat daripada mangsa, kita berjaya mengesan kedudukannya dan menjumpai wanita terbabit di kawasan berbatu di penjuru sisi kiri pulau.
“Pihak bomba dimaklumkan bahawa mangsa telah ke pulau itu seorang diri sejak pagi tadi (semalam) untuk bersiar-siar. Maklumat sebenar yang lebih terperinci masih belum diperolehi,” kata Mohamad Faisal kepada pemberita di lokasi, malam tadi.

Beliau berkata lagi, mangsa yang masih bujang itu berjaya dibawa keluar ke Jeti Anjung Batu pada pukul 12.36 tengah malam tadi dengan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan nelayan setempat.
Difahamkan, menurut sumber yang disampaikan kepada pemberita, wanita yang bekerja sebagai penjual sayur di pasar malam itu tiba di Pulau Besar pada pukul 8 pagi dengan menggunakan feri pelancong di jeti Anjung Batu.
Wanita itu dikatakan datang ke pulau itu bersendirian untuk mendapatkan rawatan secara batin termasuk mengelilingi Pulau Besar dan bertapa di sebuah gua yang digelar sebagai Gua Yunus.
Mangsa juga turut merancang untuk bermalam di surau pulau berkenaan bagi menjalani rawatan perubatan itu. Malah dia didakwa telah melakukan perbuatan itu sebanyak empat kali pada bulan lalu.
Sumber: Kosmo