Mbappe Kini Pemain Bola Sepak Dengan Gaji Termahal Dunia, Pintas Ronaldo & Messi
Bintang bola sepak Perancis, Kylian Mbappe telah dinamakan sebagai pemain bola sepak dengan bayaran tertinggi di dunia memecahkan rekod hampir sedekad dipegang duo Christiano Ronaldo dan Lionel Messi.
Memetik Peoples Gazette, Mbappe telah menandatangani kontrak lumayan tiga tahun dengan bayaran gaji berjumlah RM5.33 juta seminggu dengan yuran kontrak sebanyak RM593.5 juta.
Dalam pada itu, Forbes menganggarkan bahawa penyerang Paris Saint-Germain berusia 23 tahun itu bakal menerima sebanyak RM593.5 juta pada musim ini sekaligus memintas kedudukan Ronaldo dan Messi.
Messi dijangka akan berada di belakang Mbappe yang akan menerima bayaran RM556.4 juta, manakala Ronaldo akan menerima bayaran RM463.7 juta menduduki tempat ketiga.
Selain itu, seorang lagi pemain PSG yang turut berada dalam senarai adalah Neymar yang dijangka akan memperoleh bayaran berjumlah RM403 juta.
Disamping itu, satu satunya pemain Afrika dalam senarai 10 terbaik, Mohamed Salah akan memperoleh bayaran RM247 juta sekaligus melengkapkan carta lima yang teratas.
Penyerang Manchester City, Erling Haaland, penyerang Barcelona, Robert Lewandowski, pemain tengah Real Madrid, Eden Hazard, pemain tengah Vissel Kobe, Andres Iniesta dan pemain tengah Manchester City, Kevin de Bruyne pula akan melengkapkan carta dalam senarai 10 Terbaik.
Masing-masing dijangkakan akan memperoleh bayaran RM180 juta, RM162 juta, RM143 juta, RM139 juta dan RM134 juta pada siri kali ini.
BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China
Sumber: Peoples Gazette