Sambil “Rank” Dapat Pahala, Ustaz Abi Pilih Mobile Legends Sampaikan Dakwah Pada Anak Muda
Seorang ustaz di Indonesia menggunakan pendekatan unik dalam berdakwah dengan memanfaatkan permainan atas talian ‘Mobile Legends’ sebagai platform menarik untuk menarik pemuda mendalami Islam.
Muhammad Abi Azkakia atau dikenali sebagai Ustaz Abi merupakan seorang tokoh yang berdakwah sambil bermain ‘Mobile Legends’. Dia kemudian akan memuat naik video tersebut ke akaun TikToknya.
Ustaz Abi memilih untuk berdakwah menggunakan platform e-sport melalui permainan online kerana pada masa kini golongan muda lebih banyak menghabiskan masa bermain berbanding pergi ke surau atau masjid.
“Pada awalnya saya tahu berdakwah hanya di surau atau masjid, tapi kita tahu di masjid tidak ada ramai anak muda. Masa itu saya sedang mengajar dan melihat mereka sedang berkumpul main permainan atas talian.
“Saya tahu waktu rehat terpulang kepada mereka mahu buat apa. Cuma sewaktu mereka bermain, secara tiba-tiba salah seorang daripada mereka menggunakan kata-kata yang tidak baik,” jelasnya kepada Detik.com.
“Sebaik sahaja mereka berkata kotor, saya bertanya apa yang mereka kata tadi? Mereka pelajar saya dan itu adalah tanggungjawab saya, jadi saya mengambil telefon bimbitnya.
“Saya bertanya lagi permainan apa yang mereka mainkan sampai menggunakan perkataan kotor seperti itu?,” tambah Ustaz Abi lagi.
Cara dakwah yang digunakan Ustaz Abi agak unik. Kerana jarang kita lihat tokoh agama yang menjadikan permainan dalam talian seperti ‘Mobile Legends’ sebagai tempat untuk berdakwah.
“Saya juga menggunakan TikTok untuk berdakwah. Disitu saya lebih serius dan tegas. Akhirnya saya di ‘ban’. Jadi dari situ saya terfikir semula kepada anak-anak murid saya.
“Mereka bermain permainan ini, jadi saya mencuba menggunakan platform itu berdakwah sambil berseronok. Ada unsur lawak sambil “live” berdakwah juga,” jelasnya lagi.
Ustaz Abi prihatin terhadap anak muda zaman sekarang dan cuba menyampaikan dakwah dengan mendekati mereka melalui platform yang dekat dengan anak muda masa kini iaitu permainan dalam talian.
“Macam mana kita nak berbudi kalau akhlak kita berkurang. Bila kita bercakap kotor dan toksik, walaupun hal yang remeh ia akan melunturkan akhlak kita terhadap ibu bapa kita,” akhiri bicara dari Ustaz Abi.
Sumber: Detik.com