Pelakon Veteran, Hisham Ahmad Tajuddin Meninggal Dunia
Pelakon veteran tanah air, Hisyam Ahmad Tajuddin dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun pada jam 4.30 petang tadi.
Perkhabaran duka itu dikongsikan sendiri oleh anaknya di Facebook Missa James Novelis.
“Assalamulaikum semua, ingin saya maklumkan ayah saya Ahmad Hisyam Ahmad Tajuddin telah menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi.
“Saya bagi pihak ahli keluarga memohon ampun dan maaf sekiranya ayah kami pernah menyakiti hati tuan/puan semua selama menjadi pelakon.” katanya.
Tambahnya, dia memohon agar orang ramai untuk sedekah Al-Fatihah untuk ayahnya.
Memetik laporan Kosmo!, sekitar dua minggu lalu Allahyarham menerima rawatan di Hospital Shah Alam (HSA) sebelum disahkan meninggal dunia di pusat perubatan berkenaan akibat mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.
Imbas kembali, Allahyarham merupakan seorang pelakon yang aktif dalam industri lakonan menerusi filem dan drama sejak era 1980-an.
Antara filem yang pernah dibintangi oleh beliau termasuklah Tsu Feh Sofiah (1985), Perempuan (1988), Wira Angkasa (1987), Hanny (1993), Putera (1995), Black Maria (2003), dan banyak lagi.
Manakala dalam siri drama pula Rindu Semakin Jauh (2004), Dalam Hati Ada Cinta (2004), Lara Mahsuri (2005), Tanah Kubur (2012), Sehangat Asmara (2013) selain telefilem Maafkan Aku (2012) dan Yang Tersembunyi (2020).
Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.
Sumber: Facebook Missa James Novelis, Kosmo!